Kerajaan sebelum ini digesa mengambil 10,000 pekerja khas, termasuk graduan menganggur, untuk membantu proses pengesanan kontak.
PETALING
JAYA: Selepas lebih setahun penularan wabak Covid-19, negara masih kekurangan
sumber tenaga manusia dalam sektor kesihatan awam dan ini menunjukkan
perancangan lemah kerajaan, kata bekas timbalan menteri kesihatan.
Mengulas
cadangan untuk membenarkan pesakit Kategori 1 dan 2 dirawat di rumah, Dr Lee
Boon Chye dari PKR berkata, ia mungkin dapat mengurangkan jumlah pesakit di
hospital kerajaan dan pusat kuarantin.
Bagaimanapun
aset penjagaan kesihatan swasta sudah digunaan dan kini mencapai kapasiti
penuh untuk pesakit Covid-19 katanya, sekali gus menunjukkan Putrajaya gagal
menangani isu teras tenaga kerja sejak 14 bulan lalu.
“Kerajaan
sepatutnya sudah mempunyai kapasiti lebih besar untuk pengesanan kontak yang
berkesan. Jika setiap kontak rapat boleh dikenal pasti, diuji dan diasingkan
dalam 48 jam, kes harian boleh dikurangkan dengan cepat.
“Pengesanan kontak ialah satu-satunya langkah paling berkesan
untuk mengawal pandemik itu.”
Lee sebelum ini menggesa Kementerian Kesihatan (KKM) mengambil
10,000 pekerja khas, terdiri daripada graduan menganggur dan mereka yang
kehilangan pekerjaan ketika pandemik untuk membantu proses pengesanan kontak.
Katanya, pusat kuarantin dan rawatan Covid-19 berisiko rendah
masih pilihan terbaik untuk pesakit Kategori 1 dan 2, khasnya akibat risiko
penularan virus kepada ahli keluarga ketika dirawat di rumah.
Sementara itu, Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) menggesa
Putrajaya membenarkan hospital swasta merawat lebih ramai pesakit bukan
Covid-19 bagi membantu sistem penjagaan kesihatan awam memfokuskan kes
Covid-19.
Presidennya, Dr Subramaniam Muniandy berkata, pengurusan sebahagian daripada pesakit itu boleh disumberluarkan dengan “bayaran yang adil” bagi membantu KKM mengoptimumkan sumbernya dalam menangani pandemik itu.
Dr Subramaniam Muniandy.
Katanya, doktor swasta sepatutnya diambil untuk ujian
besar-besaran dalam masyarakat, menggunakan semua sumber sedia ada di setiap
negeri dan ditambah dengan pangkalan data berpusat.
“Seperti yang anda tahu, banyak pembedahan elektif dan janji
temu susulan di hospital kerajaan ditangguhkan kerana lonjakan kes Covid-19.
“Di sinilah penjagaan kesihatan swasta boleh digunakan dengan
koordinasi yang baik untuk mengoptimumkan kerjasama.
“Kami sudah mencadangkan doktor pelatih yang menunggu
penempatan, pelajar perubatan, pelajar kejururawatan dan pembantu perubatan
dengan pengetahuan perubatan asas diambil untuk membantu pengesanan kontak
serta beberapa tugas pentadbiran. Ini akan mengurangkan beban Pejabat Kesihatan
Daerah dan hospital kerajaan.
“Terdapat kekurangan tenaga kerja sangat serius dalam sektor
penjagaan kesihatan kerajaan. Kakitangan perubatan terlebih kerja serta
kepenatan dan ini akan menjejaskan sistem dan standard penjagaan.”
Subramaniam berkata, merawat pesakit Kategori 1 dan 2 di rumah
sedikit sebanyak dapat membantu meringankan beban pekerja penjagaan kesihatan,
tetapi mereka perlu dipantau dengan betul untuk mengelakkan perkembangan tidak
diingini.
Katanya, keadaan pesakit mungkin bertambah teruk dalam masa
kurang seminggu selepas gejala pertama berlaku, yang menekankan keperluan untuk
pemantauan rapi.