Seorang peguam yang sebelum ini menyokong proklamasi darurat akhirnya membuat pusingan U selepas mendapati langkah tersebut gagal membendung pandemik Covid-19 seperti dicanangkan.
Mohd Khairul Azam Abdul Aziz berpendapat perintah yang berkuat kuasa sejak Januari hingga 1 Ogos depan hanya bersifat darurat politik.
“Saya telah banyak menulis isu undang-undang dan Perlembagaan berkaitan justifikasi darurat 2021 sejak 12 Januari 2021.
“Namun, selepas lima bulan, saya tidak nampak perjalanan Ordinan Darurat ini berfungsi mengawal Covid-19,” luahnya dalam hantaran di Facebook beliau hari ini.
Untuk rekod, Khairul Azam menghasilkan 10 tulisan yang menyokong pelaksanaan darurat termasuklah menegaskan tidak boleh untuk keputusan menggantung Parlimen ketika darurat dicabar di mahkamah.
Walau bagaimanapun, ketika kes harian Covid-19 dan kes kematian akibat pandemik itu semakin melonjak, beliau mulai bersetuju dengan dakwaan pihak tertentu bahawa darurat hanya bagi kepentingan hayat Perikatan Nasional (PN).
“Saya mula bersetuju bahawa darurat Covid-19 ini adalah Darurat Politik sahaja semata-mata.
“Bukan sangat untuk menyekat penularan wabak,” tegasnya lagi yang tahun lalu memfailkan saman terhadap Lembaga Pengampunan dan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi mencabar nasihat yang diberi kepada Yang di-Pertuan Agong oleh pihak lembaga itu pada 16 Mei 2018.