RESPON TERHADAP JAWAPAN YAB PERDANA MENTERI BERKAITAN PEMBINAAN RM35 JUTA DEWAN DI PAGOH

 




Saya berterima kasih kepada YAB Perdana Menteri yang memberi respon kepada pertanyaan berkaitan penularan surat bagi pembinaan dewan bernilai lebih RM35 juta di Parlimen Pagoh.

Walaupun beliau menerangkan RM35 juta adalah untuk pembinaan 3 buah Dewan, ianya masih tidak menjawab isu keutamaan perbelanjaan kerajaan ketika ini dan nilaian untuk pembinaan sebuah Dewan melebihi RM16 juta masih terlalu tinggi.

Persoalannya:-

1. Sebagaimana YAB Perdana Menteri mengeluarkan arahan projek ini perlu dilaksanakan dengan segera, bolehkah YAB membatalkan projek tersebut dengan segera atau sekurang-kurangnya menangguhkan buat seketika?

2. Ini adalah kerana difahamkan sudah terdapat 4 buah Dewan besar sedia ada dalam Parlimen Pagoh iaitu:-

i) Dewan Serbaguna Pagoh

ii) Dewan Kompleks Sukan Pagoh

iii) Dewan Seri Pekembar

iv) Dewan di Hub Universiti Pagoh

Sebagai rujukan, saya sertakan gambar-gambar di Facebook saya.

Ini tidak termasuk dewan-dewan masyarakat yang lain.

Bukankah dengan norma baru, sudah pasti penggunaan dewan awam adalah terhad dan adakah 4 buah dewan utama ini dan dewan-dewan lain tidak mencukupi untuk ketika ini?

3. Sepertimana YAB Perdana Menteri boleh menggantung Dewan Parlimen melalui kaedah proklamasi Darurat, kononnya untuk melawat Covid19, apalah salahnya projek pembinaan Dewan ini digantung juga?

4. Bolehkah kita tangguhkan pembinaan 3 buah Dewan ini agar dana tersebut dapat digunakan bagi usaha melawan Covid19?

Bukankah lebih elok sekiranya kita salurkan dana tersebut supaya ujian swab dapat diperluaskan, kapasiti pusat kuarantin dipertingkatkan serta jentara frontliners diperkuatkan.

5. Bolehkah YAB Perdana Menteri terangkan makna tatacara perolehan secara tender yang diluluskan oleh Kementerian Kewangan?

Adakah ini tender terbuka atau tidak?

Berdasarkan isu kandungan surat yang tular, kerja-kerja di tapak sepatutnya bermula pada 1 Mac 2021, tempoh 6 minggu untuk melaksanakan proses tender terbuka dalam suasana PKP dan Darurat adalah agak mustahil.

Persoalan-persoalan netizens dan saya bangkitkan bukanlah berniat jahat seperti mana tuduhan YAB Perdana Menteri, tetapi kami juga mengambil sikap bertanggungjawab untuk menjaga dana rakyat.

Akhir sekali, memandangkan saya tidak boleh bertanya dalam Parlimen, bolehkah YAB Perdana Menteri membatalkan projek ini serta-merta supaya kita utamakan usaha negara melawan Covid19?

Terima kasih.

17 Januari 2021

AKMAL NASIR

Ahli Parlimen Johor Bahru

Ketua AMK Malaysia