Dilema pendidikan: Guru semakin terbeban, pelajar hilang minat belajar

 


🇲🇾 Nik Nazmi (@niknazmi) | Twitter


Dilema pendidikan: Guru semakin terbeban, pelajar hilang minat belajar

Darurat dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikhuatiri akan menjadi penyebab merudumnya kualiti pendidikan negara.

Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, hal itu boleh terjadi kerana guru-guru pada tahun ini menghadapi lebihan beban mengajar anak murid yang menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia, juga pelajar sesi 2021 dan pelajar yang belajar secara atas talian.

“Kita maklum bagi negeri-negeri yang sedang berada dalam PKP, kerajaan melalui Kementerian Pendidikan mengarahkan semua pelajar yang bakal menduduki peperiksaan besar dan para guru untuk kembali ke sekolah.

“Namun seperti yang saya nyatakan sebelum ini, kita sekarang mempunyai 2 kumpulan pelajar peperiksaan yang perlu dijaga; kelas SPM tahun 2020 (mereka belum mengambil SPM) dan pelajar tahun 2021.

“Bebanan kerja guru akan bertambah dengan keadaan ini. Mereka harus mengurus dan mengajar kelas peperiksaan dengan SOP yang ketat.

“Selain daripada tugasan ini, mereka tetap perlu mengajar pelajar dalam talian bagi pelajar yang sedang berada di rumah,” kata Nik Nazmi dalam satu kenyataan.

Menurut Jurucakap Parlimen KEADILAN bagi Pendidikan itu, kerajaan atau Kementerian Pendidikan seharusnya melakukan persiapan, memberikan sumber dan sokongan untuk guru dalam situasi sekarang bagi menyeimbangkan kedua-dua keperluan; terutama bagi mereka yang mungkin tidak biasa dengan mata pelajaran yang perlu diajar di peringkat peperiksaan.

Selain itu, katanya, terdapat laporan pelajar sekolah menengah bukan tahun peperiksaan kehilangan minat dan fokus pada pelajaran dalam talian.

“Di sini apa yang Kementerian Pendidikan lakukan untuk membantu pelajar dan guru menghadapi masalah ini? Kita perlu lakukan sesuatu untuk mengurangkan risiko keciciran yang tinggi ketika sekolah dibuka semula.

“Apa sistem sokongan yang disediakan untuk guru, pelajar dan ibu bapa untuk menghadapi PKP 2.0 dan darurat? Di manakah talian bantuan, pangkalan data untuk pelajaran dan penilaian? Di manakah platform untuk berkomunikasi dengan ibu bapa?

“Ini seharusnya dilakukan dalam beberapa minggu pertama pandemik pada tahun 2020,” katanya lagi.

Oleh itu, menurut Nik Nazmi, adalah lebih baik kerajaan memanfaatkan semua sumber pendidikan sama ada rasmi atau bantuan ditawarkan NGO bagi mengurangkan beban tenaga pengajar dan masalah keciciran dalam kalangan pelajar.

“Namun adakah kerajaan memanfaatkan sepenuhnya pusat tuisyen, tuisyen atas talian, tutor individu, dan NGO untuk memberi ruang pembelajaran maya bagi kanak-kanak B40 yang mungkin tidak dapat belajar di rumah secara maya?

“Hanya Kementerian Pendidikan yang dapat menjawab soalan-soalan ini,” katanya lagi.



No comments: