GLC TDM Terengganu terlalu banyak pengarah?
RAJA KAMARUL BAHRIN SHAH
- TDM Berhad sebuah syarikat dimiliki Kerajaan Negeri Terengganu telah dimaklumkan kepada saya ianya melanggar peraturan pengurusan Syarikat untuk beberapa tahun. Perkara Ini amat mengecewakan, bagaimana Kerajaan Negeri Terengganu boleh membenarkan hal ini berlaku?
- Baru baru ini rakyat Terengganu telah dikejutkan dengan berita beberapa orang individu menjadi pengarah berbelas syarikat GLC Terenggganu dengan gaji lumayan keseluruhan berjumlah sekitar RM55,000 sebulan setiap orang.
- Lebih menyedihkan lagi, sementara ramai anak Terengganu sedang menganggur, beberapa orang dari mereka yang dilantik Pengarah GLC tersebut, bukan pun anak tempatan atau bermaustautin asalnya di Terengganu.
- Syarikat TDM Bhd – Terengganu Development and Management, dipercayai tidak menghantar Annual Return Tahun 2017, 2018 dan 2019 kepada SSM dan ini telah melanggar Akta SSM Seksyen 68(1).
- TDM juga di percayai belum menghantar laporan Audit Kewangan 2019 dan ini juga telah melanggar akta SSM seksyen 259(1)(a).
- Saya di sini meminta kerajaan Negeri Terengganu mengesahkan dakwaan ini. Adakah ini benar seperti yang dilaporkan?
- Saya sebelum ini menyoal apa keperluan melantik orang luar yang sama dalam begitu banyak syarikat GLC dengan gaji begitu lumayan jika mereka tidak mempunyai kepakaran dan kesungguhan yang tinggi. Situasi TDM ini menunjukkan betapa tidak bijaknya Kerajaan Negeri Terengganu melantik seseorang memegang begitu banyak jawatan pengarah GLC yang tidak mampu memberi perhatian tugas dengan keupayaan yang cekap.
- YAB Menteri Besar Terengganu dan Pengerusi TDM patut bertanggungjawab atas kelemahan yang berlaku ke atas TDM hari ini.
- Mengapa beberapa tahun laporan Annual Return belum di hantar sehingga hari ini ?
- Untuk setiap kesalahan tidak menghantar Annual Return, dendanya sehingga RM5,000 kepada setiap pengarah dan kesalahan tidak menghantar laporan audit, Pengerusi TDM boleh dikenakan denda bayaran sehingga RM50,000.
- AMANAH Terengganu menggesa SSM menjalankan tugas dengan mengenakan denda keatas pesalah dan jangan tunduk kepada apa apa bentuk tekanan dari pihak atasan. Tidak harus berlaku campur tangan dari pihak kerajaan negeri dalam hal ini.
- Teguran kami terdahulu tentang pelantikan individu tertentu kedalam berbelas syarikat GLC telah diremehkan oleh kerajaan negeri.
- Jika benar seperti dilaporkan, hari ini masalah TDM adalah bukti rungutan kami bagi pihak rakyat mempunyai justifikasi yang kukuh kerana pengarah yang dilantik tidak mempunyai kesungguhan atau juga pengalaman untuk tumpu pada begitu banyak syarikat.
- YAB Menteri Besar Terengganu juga patut bertanggungjawab terhadap isu kenapa pelantikan pengarah berkisar di kalangan orang tertentu sahaja sementara ramai lagi anak Terengganu yang berkebolehan tidak dilantik.
- Pelantikan pengarah syarikat yang menguruskan perniagaan bernilai ratusan juta mesti berasaskan integriti, kecekapan dan sikap yang beramanah.