Keadilan bukan sahaja kekal berprinsip, tetapi parti reformasi ini bertuah kerana memiliki ramai pendokongnya di kalangan rakyat marhaen dari berbagai kaum. Lebih membanggakan lagi Keadilan mempunyai ramai anak didik Anwar Ibrahim yang hebat dan memiliki aura tersendiri seperti Sdr Rafizi Ramli .
Keadilan juga ada tokoh hebat seperti Nurul Izzah dan Puan Hjh Fuziah Salleh yang terkenal berpegang dengan prinsip. Tidak pelik jika sewaktu PH menjadi kerajaan dan Mahathir menjadi PM, tokoh-tokoh seperti ini tidak digemari oleh orang yang anti reform seperti Mahathir. Apabila Mahathir gagal melaksanakan reform seperti yang dijanjikan, Nurul Izzah mula menjauhinya kerana putus harapan kepada beliau. Fuziah Salleh terpaksa bergelut bersendirian mempertahankan prinsipnya apabila sebagai seorang pejuang anti Lynas, tiba-tiba Mahathir merestui kilang Lynas ini terus beroperasi. Mahathir meletakkan MP Kuantan ini hanya sebagai Timbalan Menteri sedangkan 'wanita besi' ini pejuang paling lama dari Keadilan dan menjadi MP tiga penggal berturut-turut.
Saya melihat Rafizi paling kecewa kerana setelah bersusah payah beliau korbankan masa, tenaga dan wang ringgit untuk menaikkan PH sebagai kerajaan, apa yang beliau impikan untuk melihat Mahathir meneruskan agenda reformasi ternyata gagal. Mahathir ternyata menyusun agenda peribadinya yang utama iaitu memastikan Anwar tidak akan menggantikannya seperti yang dijanjikan. Mahathir mengutip semua musuh-musuh Anwar untuk memegang jawatan-jawatan penting. Azmin menjadi menteri kanan, tolak Fuziah sebagai menteri penuh dan angkat Zuraidah, orang yang diangkat sendiri oleh Fuziah di dalam politik untuk menjadi menteri penuh. Latheefa Koya, seorang lagi yang dikenali sebagai anti Anwar, diangkat untuk mengetuai SPRM. Akibatnya, Azmin dan Zuraidah sendiri mengkhianati Mahathir.
Tindakan Mahathir ini mungkin menjadi salah satu penyebab Rafizi mahu 'berehat' seketika. Biarkan Rafizi mengambil sedikit masa lagi untuk memujuk hatinya. Mahathir kini tiada di dalam kamus Keadilan. Kita boleh maafkan beliau sekali tetapi bukan berkali-kali.
Sesiapa yang masih percayakan orang tua ini, silakan. Keadilan bukan berlagak 'abang' di dalam PH, sebab itu Anwar tidak pernah melarang mana-mana pimpinan di dalam PH untuk meyakini Mahathir Anwar memahami bahawa seluruh ahli dan penyokong Keadilan tidak lagi boleh menerima Mahathir. Jika dahulu, Anwar berjaya memujuk ahli-ahli dan penyokong Keadilan untuk menerima Mahathir, tetapi apabila Mahathir ini jenis manusia tidak tahu berterima kasih, maka Anwar tiada upaya lagi untuk menyakinkan para penyokongnya.
"Kerehatan' Rafizi seketika memberi ruang kepada tokoh muda seperti Akmal Nasir untuk meneruskan gerakan di akar umbi. Akmal semakin aktif bergerak termasuk di media sosial. Nurul Izzah pula telah mula melangkah melangkaui sempadan Permatang Pauh. Fuziah Salleh semakin aktif apatah lagi setelah dinobatkan sebagai Ketua Wanita Pusat. Program latihan di bawah Akademi Keadilan (ARK) yang diasaskannya semakin aktif menyusun aktiviti di seluruh negeri. Anak-anak buah Rafizi meneruskan kerja dengan inisiatif sendiri menyusun berbagai program latihan di bawah Selkom. Lebih banyak program sebegini lebih baik untuk memantapkan parti.
Jangan lupa, terdapat satu lagi pertubuhan yang semakin mendapat perhatian masyarakat. GERAK98 yang kini dipimpin oleh Sdr Ezam Mohd Noor adalah kesinambungan daripada Gerak yang diasaskan oleh Almarhum Us Fadzil Noor, Presiden Pas sewaktu di era reformasi. Ezam tampil melunaskan 'hutang'nya kepada Keadilan iaitu parti yang pernah ditinggalkan dahulu. Ijtihad beliau sewaktu meninggalkan Keadilan dahulu, tiada sesiapa boleh menghukumnya benar atau salah. Apabila beliau berada di pihak lawan kita suatu ketika dahulu, kita lawan Ezam. Apabila Ezam mahu bersama dengan kita untuk mengangkat Anwar sebagai PM, melawan pengkhianat dan si kitol, maka kita harus berlapang dada. Jika kita tidak mahu bergerak, jangan kita halang pihak lain yang mahu bergerak.
Tugas untuk menjatuhkan pengkhianat tidak cukup dengan parti sahaja yang berperanan. Gembelingkan tenaga dengan semua pihak yang sealiran dengan perjuangan kita Terimalah hakikat bahawa Rafizi punyai aura dan pengaruhnya yang tiada sesiapa pun boleh pertikaikan. Akmal, pengikut Rafizi juga seorang tokoh yang berwibawa dan berani. Nurul Izzah sudah tentunya mempunyai aura di kalangan anak-anak muda dan wanita kerana ketegasan dan keberaniannya yang diwarisi dari ayahnya. Fuziah Salleh, pejuang lama yang penuh berpengalaman dan begitu setia dengan 'bos'nya sewaktu senang dan susah mempunyai ciri-ciri kepimpinan yang baik bagi seorang wanita. Ezam Mohd Noor, satu nama yang tidak dilupakan terutamanya oleh orang-orang lama dan otai reformasi, punyai sejarahnya tersendiri namun kekal menyanjung reformasi.
Ezam hadir ketika kita berada di dalam keadaan sukar, bukannya sewaktu kita sedang berkuasa. Beliau tampil disaat Anwar ditekan dan dikhianati, bukannya beliau tampil ketika Anwar dipuncak kuasa. Maka, berikan ruang untuk Ezam membuktikan bahawa suatu ketika dahulu beliau 'terkhilaf' memilih Umno, dan kini beliau mahu buktikan kepada seluruh rakyat Malaysia bahawa reformasi itu hanya boleh dilaksanakan oleh pemegang kuncinya iaitu Anwar Ibrahim.
Kesemua mereka bakal kembali berganding bahu untuk menyelamatkan negara ini dari terus diperintah oleh pengkhianat. Bersyukurlah, disaat beberapa pemimpin mulai kabur mata dek jawatan dan pangkat, Keadilan masih ada pemimpin dan tokoh yang bermaruah.
"LAWAN TETAP LAWAN"
WFAUZDIN NS