‘Macam mana tegakkan slogan tanpa turut kaji projek BN, PN?’


Bagaimana Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Azam Baki boleh menegakkan slogan SPRM ‘adil, tegas dan amanah’ tanpa turut mengkaji projek rundingan terus (RT) sewaktu pemerintahan BN dan PN sama ada wujud unsur rasuah?
Itu persoalan dilontarkan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng hari ini.
Ahli Parlimen Bagan itu berkata, dalam kenyataan terbaru Azam mengenai projek RT, beliau tidak menyebut SPRM akan turut menyiasat projek RT zaman PN dan BN.
Sebaliknya, jelas Guan Eng, Azam hanya menyatakan bahawa SPRM masih membuat analisis terhadap kesemua projek RT oleh PH sama ada ia mempunyai unsur rasuah atau sebaliknya.
“Projek RT di bawah inisiatif Pakatan Harapan (PH) bukanlah RM6.61 bilion seperti yang diuar-uarkan oleh Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Abdul Aziz, tetapi sebenarnya hanya 5.3 peratus daripada jumlah itu, yakni RM352 juta.
“Ini adalah kerana 95 peratus daripada projek RM6.61 bilion ialah projek warisan atau sambungan dari zaman BN,” katanya.
Dalam pada itu, Guan Eng berkata, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin bermain helah politik apabila cuba mengaitkan keputusan Kabinet pada 2018 untuk memotong 10 peratus daripada harga kontrak yang diluluskan oleh BN sebagai bukti mantan Menteri Kewangan itu sendiri yang membuat rundingan terus.
Jelas Guan Eng, Zuraida harus bercakap benar bahawa beliau hadir dalam mesyuarat Kabinet yang membuat keputusan memotong harga kontrak BN sebanyak 10 peratus demi menjimatkan wang negara.
Menurutnya, beliau tidak boleh berselindung di belakang SPRM, untuk tidak mendedahkan semua surat yang berkaitan dengan Projek Sisa Pepejal Taman Beringin (PSPTB) bernilai RM170.3 juta tersebut.

No comments: