Pernahkah menteri PN melihat sendiri kesusahan rakyat Sabah?




Kesukaran seorang mahasiswa Universiti Malaysia Sabah, Vevenoah Mosibin mengharungi peperiksaan secara on line dengan memanjat pokok bagi mendapatkan akses internet amat tidak wajar diperlekehkan.

Bekas Timbalan Menteri Pertanian, Sim Tze Tzin berkata, beliau pernah ke daerah pedalaman Sabah seperti Pitas dan sedih mendapati keadaan penduduk di sana begitu daif berbanding di Semenanjung.

Katanya, Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Datuk Zahidi Zainul Abidin tidak akan menuduh mahasiswa tersebut berbohong sekiranya beliau pernah melawat ke kawasan pedalaman di Sabah.

"Kita orang Semenanjung tidak faham keadaan hidup rakan-rakan di Sabah. Kerana majoriti rakyat Malaysia tidak pernah ke Pitas, Sabah dan tidak memahami keadaan di sana. Mungkin termasuk YB Zabidi.

"Keadaan sebenar Pitas sangat menyedihkan. Saya pernah lawati perkampungan nelayan di situ pada Jun 2019. Saya amat sedih tengok anak-anak nelayan menggunakan titi yang usang ke sekolah setiap hari," katanya dalam kenyataan di Facebook.

Menurut Sim, kesukaran itu mendorong beliau berinisiatif mengeluarkan peruntukan untuk menggantikan titi usang yang tidak diendahkan oleh wakil rakyat BN sebelum ini, dengan titi yang baharu.

Oleh itu, Sim menyeru agar menteri Perikatan Nasional lebih prihatin dan bersikap 'pemurah' berbanding menghukum tanpa melakukan penyiasatan terlebih dahulu.

"Jadi janganlah Timbalan Menteri perlekehkan orang Sabah, terutamanya pelajar dari kawasan susah. Bantulah mereka. Berbaktilah kepada mereka. Kamu sudah ada kuasa, ada peruntukan. Buatlah sesuatu kepada kawasan Pitas.

"Kita semua rakyat Malaysia, seharusnya faham-memahami dan bantu-membantu," katanya lagi.


Untuk rekod, semasa Sim menjadi timbalan menteri beliau memperuntukan lebih kurang RM80,000 bagi membaiki sebuah titi usang untuk membantu penduduk di sana.

Hari ini projek tersebut telah siap dan kanak-kanak di Pitas amat menghargai sumbangannya.