Sekiranya
Malaysia ingin mengorak langkah lebih jauh dalam pencapaian ekonomi pada masa
akan datang, Parlimen harus meluluskan Rang Undang-undang (RUU) anti lompat
parti untuk mewujudkan kerajaan yang lebih stabil.
Menurut
Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul yang merupakan salah seorang
anggota kaukus Parlimen bagi mengkaji RUU anti lompat parti, pemantapan
undang-undang pilihan raya sedia ada perlu dilakukan agar tidak menakutkan
pelabur menanam modal menghadapi keadaan politik yang tidak menentu.
"Kaukus
ini idea daripada Inter Parlimen Union (IPU) Malaysia yang dipengerusikan oleh
YB Anthony Loke. Mereka memanggil wakil-wakil parti seperti Nazri Aziz (Umno)
Halimah Sidek (umno), saya (KEADILAN) wakil Amanah, GPS dan lain-lain.
"IPU
bersetuju menubuhkan satu kaukus untuk membincangkan undang-undang pilihan raya
berhubung tindakan melompat Ahli Parlimen, yang mana tindakan ini dianggap oleh
Datuk Nazri sebagai tidak bermoral dan boleh menjatuhkan kerajaan. Akibat
jatuhnya kerajaan itu, politik negara tidak stabil dan pelabur tak berani masuk
"Oleh
itu, IPU bersetuju untuk kita tubuhkan jawatankuasa yang akan berperanan untuk
mengkaji anti lompat parti," katanya.
Namun
Johari mengakui RUU tersebut bukan mudah kerana mengadapi Perlembagaan
Persekutuan, seperti Perkara 10 yang memberi kebebasan kepada setiap rakyat
menganggotai pertubuhan.
Juga,
katanya terdapat kes mahkamah sebelum ini yang mana wakil rakyat diputuskan
oleh mahkamah boleh memilih parti lain selain yang dianggotainya ketika dipilih
sewaktu pilihan raya.
"Dalam
hal ini kena ada satu perbincangan, kita telah pun mengatakan kita perlu satu
undang-undang, iaitu mewujudkan undang-undang baru atau kembali melihat
undang-undang pilihan raya yang kita ada
"Sebab
itu kita beri masa dalam 6 bulan untuk kaji dan tubuhkan sekretariat dan Datuk
Nazri telah pun dipilih untuk menjadi pengerusi kaukus
"Kita
akan melihat apa undang-undang yang terlibat, jika melibatkan akta maka kita
memerlukan simple majoriti untuk diluluskan di Parlimen. Tetapi mungkin juga
melibatkan pindaan Perlembagaan yang memerlukan undian 2/3," katanya lagi.
Bagaimanapun,
Johari optimis sekiranya kaukus mengemukakan cadangan maka semua parti akan
menyokong kerana mana-mana parti yang tidak menyokong akan dianggap rakyat
sebagai merestui amalan melompat parti.
"Saya
yakin kalau kita perkenalkan rang undang-undang meminda akta pilihan raya atau
pinda Perlembagaan tidak ada parti akan menentang kerana jika menentang,
maknanya siapa juga wakil rakyat yang menentang dia bersetuju orang yang menang
atas sesuatu parti itu melompat. Rakyat akan menjadi penilai kepada pandangan
beliau (dalam PRU)," katanya lagi.
Penubuhan
kaukus pada 18 Ogos lalu telah dimaklumkan kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat,
Datuk Azhar Azizan Harun dan telah mendapat persetujuan daripada Barisan
Nasional (BN), PAS, DAP, GPS dan KEADILAN. Kaukus dipengerusikan oleh Ahli
Parlimen BN Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz Abdul Aziz.