Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menasihatkan agar cabang PKR tidak mengikut perangai Umno yang mencantas cerdik pandai menyertai pentadbiran di peringkat bahagian.
Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata, pemimpin dan ahli PKR perlu ingat tentang perjuangan mereka di jalanan selama ini.
“Jangan jadi Umno, orang cerdik pandai masuk mereka cantas. Di Melaka dahulu ada pengerusi bukan siswazah tetapi bila ada mereka yang lebih dari sudut pendidikan terus tidak dibenarkan.
“Semasa di jalanan apa kita marah? Isu kroni. Bila berkuasa kita hilang prinsip itu sebab itu saya kata orang lama belum tentu akan kekal berprinsip,” tegasnya.
Anwar berkata demikian ketika berucap pada Konvensyen Penerangan PKR di Ampang hari ini.
Menurutnya lagi, PKR masih relevan kerana parti tersebut memperjuangkan tentang reformasi.
“Ada yang masuk kerana kerlipan kuasa. Ada orang baru masuk PKR kerana faham dengan perjuangan. Parti ini kekal dianggap relevan kerana kita bercakap soal reformasi,” katanya lagi.