PIMPINAN DAP GESA KERAJAAN PN TEGAS TANGGANI MASAALAH PEMANDU MABUK



Wakil rakyat dan pemimpin DAP, hari ini tampil menggesa kerajaan Perikatan Nasional (PN) supaya menunjukkan kesungguhan politik mereka dalam menangani isu pemandu mabuk.

Dalam satu kenyataan yang ditandatangani oleh 20 pemimpin DAP itu, mereka mendakwa tidak melihat kesungguhan politik yang sama daripada kerajaan PN sekarang, termasuk dari PAS berbanding apa yang dilakukan oleh PH sebelum ini.

“Isu pemandu mabuk, yang dahulunya menjadi isu besar pembangkang BN dan PAS, kini seperti tidak lagi menjadi prioriti apabila mereka menjadi kerajaan.

“Mereka sekadar menyebarkan soal selidik kementerian pengangkutan yang dijalankan secara atas talian, dan mencadangkan supaya suatu Jawatankuasa Khas Kabinet ditubuhkan, walhal apa yang patut dilakukan adalah meminda undang-undang sedia ada,” kata mereka, hari ini.



Menurut pemimpin DAP itu, kerajaan PH, melalui bekas menteri pengangkutan Anthony Loke telahpun memaklumkan bahawa kerajaan ketika itu akan meminda Akta Pengangkutan Jalan 1987 pada sidang parlimen tahun ini.

Pindaan itu bagi mengenakan hukuman keras ke atas pemandu di bawah pengaruh alkohol, di samping pindaan-pindaan lain termasuk menggantung lesen memandu seumur hidup.

Walau bagaimanapun, hasarat itu tidak kesampaian susulan ‘Langkah Sheraton’ pada Februari lalu yang menyaksikan kerajaan PH tumbang apabila beberapa ahli parlimen PKR dan Bersatu berpaling tadah.

Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin kemudiannya bergandingan bahu dengan pemimpin Umno dan PAS bersama Timbalan Presiden PKR Azmin Ali dan beberapa lain membentuk kerajaan baru.

Mengulas lanjut, wakil DAP berkata, meskipun telah merampas kerajaan pusat PN gagal menunjukkan kesungguhan mereka untuk menangani isu pemandu mabuk seperti yang dicanangkan sebelum ini.


“Kami dengan ini menggesa supaya kerajaan PN menunjukkan kesungguhan politik mereka dalam isu ini dengan mengadakan sidang Parlimen dengan secepat mungkin supaya RUU pindaan ini dapat dibentangkan dan diluluskan,” kata mereka.

Pada 26 Mei lalu, Herman Kamarudin, 41, maut selepas kereta yang dipandunya dirempuh kereta lain yang dipandu oleh seorang peraih ikan secara melawan arus dalam keadaan mabuk.

Ini adalah ragedi kedua yang berakhir dengan kematian dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan, selepas kes kematian Allahyarham Koperal Safwan Muhammad Ismail pada awal bulan ini.

Pada 3 Mei lalu, anggota polis itu maut selepas dirempuh sebuah kenderaan ketika bertugas mengawal sekatan jalan raya di Plaza Tol Kajang Selatan.

Berikut nama wakil rakyat dan pemimpin DAP yang menandatangani kenyataan bersama itu.

• Thomas Su Keong Siong, ahli parlimen Kampar

• Steven Sim Chee Keong, ahli parlimen Bukit Mertajam

• Alice Lau Kiong Yieng, ahli parlimen Lanang

• Chan Foong Hin, ahli parlimen Kota Kinabalu

• Wong Shu Qi, ahli parlimen Kluang

• Dr. Kelvin Yii Lee Wuen, ahli parlimen Bandar Kuching

• Phoong Jin Zhe, Menteri Belia dan Sukan Negeri Sabah dan ADUN Sabah kawasan Luyang

• J Arul Kumar, Exco Sumber Manusia, Perladangan dan Hal Ehwal Bukan Islam Kerajaan Negeri Sembilan dan ADUN Negeri Sembilan kawasan Nilai

• Chiong Yoke Kong, ADUN Pahang kawasan Tanah Rata

• Edry Faizal, ADUN Selangor kawasan Dusun Tua

• Satees Muniandy, ADUN Pulau Pinang kawasan Bagan Dalam

• Sheikh Umar Bagharib Ali, ADUN Johor kawasan Paloh

• Teh Swee Leong, ADUN Kedah kawasan Kota Darul Aman

• Lim Yi Wei, ADUN Selangor kawasan Kg Tunku

• Young Syefura Othman, ADUN Pahang kawasan Ketari

• Daniel Gooi Zi Sen, ADUN Pulau Pinang kawasan Pengkalan Kota

• Chris Lee Chun Kit, ADUN Pulau Pinang kawasan Pulau Tikus

• Kerk Chee Yee, ADUN Melaka kawasan Ayer Keroh

• Muhammad Shakir Ameer, Naib Ketua Pemuda DAP Kebangsaan

• Syahredzan Johan, Setiausaha Politik Ahli Parlimen Iskandar Puteri

https://m.malaysiakini.com/news/527421

No comments: