KENYATAAN MEDIA



Menjawab Amaran Menteri Azmin Ali Terhadap Kerajaan Negeri-Negeri

Kerajaan Persekutuan khususnya Menteri Kanan Azmin Ali perlu merujuk butiran No.7 dalam Senarai III – Senarai Bersama (Concurrent List) Jadual Kesembilan (Ninth Schedule) Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukan bahawa Kerajaan Persekutuan bersama-sama Kerajaan Negeri-Negeri mempunyai kuasa bersama dalam perkara Kesihatan Awam (Public Health) dan Pencegahan Penyakit (Prevention of Diseases).

2. Peringatan ini diberi sebagaai jawapan terhadap amaran Menteri Kanan Azmin Ali bahawa ‘’ Negeri enggan buka semula ekonomi boleh disaman pihak industri’’. Azmin Ali atau Kerajaan Persekutuan tidak boleh cukup hanya sekadar bergantung punca kuasa dari Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) untuk memaksakan kehendaknya supaya kerajaan-kerajaan negeri menurut keputusan Kerajaan Persekutuan supaya sektor ekonomi dibuka semula pada 4 Mei 2020.

3. Perlu diingat bahawa Senarai III – Senarai Bersama Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan status kuasa perundangannya lebih tinggi berbanding AKta 342 tersebut.

4. Jadi sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen bagi Hubungan Negeri-Negeri dengan Persekutuan saya menyeru supaya Menteri Kanan Azmin Ali, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Kerajaan Pusat supaya mengambil pendekatan yang terbaik dengan menghormati kuasa kerajaan-kerajaan negeri kerana Malaysia ini sebuah negara persekutuan yang mengamalkan prinsip Federalisme yang bidang kuasa masing-masing (Negeri-Negeri dan Persekutuan) telah tertulis dengan nyata di bawah Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan.

5. Keputusan yang dipersetujui bersama dalam soal untuk membuka semula sektor ekonomi akibat wabak penyakit Covid-19 adalah satu keputusan besar yang penting. Keputusan itu perlu dilihat ada kewibawaan, diyakini, tepat dan boleh dipertanggungjawabkan supaya ia akan dihormati oleh semua pihak, sama ada rakyat, pihak industri, pelabur dan masyarakat antarabangsa. Imej dan nama baik Kerajaan Persekutuan dan Negeri juga akan terpelihara.

Hassan Abdul Karim
Pengerusi
Jawatankuasa Pilihan Khas Hubungan Negeri-Negeri Dan Persekutuan
Parlimen Malaysia
Ahli Parlimen Pasir Gudang
4 Mei 2020

No comments: