Baru-baru ini, di dalam siaran FB beliau, Dato Seri Anwar Ibrahim menyatakan bahawa PH terbuka untuk menerima kembali Bersatu sekiranya parti berkenaan mahu kembali ke pangkal jalan.
Anwar meletakkan dua syarat penting sekiranya Bersatu ingin kembali ke pangkuan PH, iaitu pertama, keputusan Bersatu mestilah keputusan sebulat suara dari satu parti iaitu Bersatu. Ertinya, tiada kelompok Tun M mahu bersama PH, manakala kelompok Muhyidin masih setia dengan pengkhianatan. Keputusan mestilah dari Bersatu bukannya kelompok.
Kedua, Bersatu mesti terima prinsip dan dasar perjuangan PH terutamanya di dalam merealisasikan reform dan menentang rasuah di dalam negara ini. Selain itu, Bersatu diingatkan agar tidak lagi mengulangi kesilapan besar yang telah mereka lakukan sehingga tumbangnya sebuah kerajaan mandat rakyat.
Kenyataan Anwar itu dari segi politik dan diplomasinya nampak positif dan wajar. Mana-mana parti tidak harus berlagak sombong kepada mana-mana pihak yang ingin membantunya. Itu kita faham.
Bagi kami di akar umbi pula yang tidak pernah pun merasai nikmat berada di bangku empuk menteri atau timbalan menteri sewaktu kerajaan PH memerintah dahulu, kami lebih simpati dan amat bersedih dengan tumbangnya kerajaan PH akibat pengkhianatan mereka. Kami tidak hilang jawatan besar apa pun, tetapi kami meratapinya kerana puluhan tahun kita berjuang, akhirnya kita berjaya benamkan kleptokrasi, namun kerana tamakkan kuasa, tergamak beberapa pimpinan dari PH ini melakukan curang dan khianat serta belot.
Wajarkah tidak sampai beberapa bulan mereka curang, kita sediakan tapak sireh untuk mereka kembali setelah mereka merasa derita akibat dosa pengkhianatan? Apabila mereka tahu mereka akan dibaham oleh gerombolan umno dan Pas, maka mereka mahu kembali bersama PH? Kalau mereka merasa selamat, adakah mereka mahu kembali kepada kita?
Saperti yang saya tulis sebelum ini, lebih baik PH terima sokongan secara individu dari mana-mana pemimpin Bersatu. PH lebih selamat dan terjamin tanpa Bersatu dan lebih kuat lagi jika mendapat sokongan secara peribadi dari mana-mana pemimpin Bersatu yang tidak setuju dengan kerajaan pintu belakang sekarang. PH mampu berdiri tanpa meletakkan nama Tun M. Kami sudah fobia dengan nama itu.
Bagi saya, harapan untuk Bersatu kembali kepada PH amat tipis sekali. Pertama, kerana kebanyakan pimpinan Bersatu sekarang telah dapat habuan masing-masing dan tidak mungkin mereka sanggup tinggalkannya demi untuk bersama PH. Keduanya, majoriti akar umbi di dalam PH akan bangkit lebih vokal untuk menentang sebarang usaha bagi membawa parti yang telah khianat kepada PH itu kembali kepada PH. Saya pun tidak fikir pimpinan kita begitu serius memikirkan soal Bersatu ini hingga kita lupa tentang maruah kita.
WFAUZDIN NS