COVID-19: SPRM SIASAT KONTRAK RM 30 JUTA



Saya meneliti beberapa laporan akhbar semalam yang menyebut bahawa “Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat sebuah syarikat yang didakwa mendapat kontrak kelengkapan makmal dianggarkan bernilai RM 30 juta secara tidak layak.”

Menurut sumber yang sama, syarikat itu juga mendapat kontrak membekalkan kelengkapan sistem makmal di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Walaupun pihak SPRM tidak menyatakan Kementerian mana terlibat, susulan daripada pendedahan tersebut Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba juga telah mengeluarkan kenyataan bahawa KKM akan memberikan kerjasama terhadap siasatan oleh SPRM.

Kita menuntut agar SPRM dapat menjalankan siasatan dengan telus dan penuh integriti serta tidak melindungi mana-mana individu dan mereka yang berkepentingan.

Sekiranya dakwaan ini benar, ini merupakan satu pengkhianatan yang amat besar terhadap rakyat Malaysia dalam keadaan negara berdepan dengan wabak bencana Covid-19.

Ini jelas bahawa perbuatan rasuah mahupun ketirisan akan memangsakan kita semua.

Sementara pihak berkuasa menjalankan tugas, Menteri berkenaan sewajarnya tampil menerangkan natijah daripada perkara ini:-

1. Adakah kontrak tersebut masih diteruskan?

2. Adakah orang politik atau lantikan politik terlibat?

3. Berapakah kerugian yang terpaksa ditanggung oleh KKM?

4. Apakah kesan penyelewangan ini terhadap usaha kita menangani jangkitan Covid-109?

Pendedahan ini juga mengejutkan dan menimbulkan kekhuatiran terhadap persiapan kita terutamanya keperluan untuk negara meningkatkan saringan jangkitan (test) manakala barisan hadapan (frontliners) sebelum ini berdepan dengan kekurangan peralatan perlindungan diri (PPE).

Maka, perbuatan pihak yang tidak bertanggungjawab yang mengambil kesempatan ke atas kesengsaraan rakyat perlu diambil tindakan tegas dan tanpa kompromi.

Akmal Nasir
Ahli Parlimen Johor Bahru
Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Malaysia

No comments: