Berdepan tekanan yang berterusan, khususnya daripada UMNO yang terus menagih pelbagai habuan dan jawatan, persoalan yang banyak dibualkan ketika ini ialah sampai bilakah kerajaan PN yang meletakkan Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri ini mampu bertahan?
Sehingga ini, selain UMNO menuntut lebih banyak jawatan di peringkat Pusat, UMNO di Sabah, melalui surat Zahid Hamidi kepada Muhyiddin, mereka juga menuntut jawatan dalam kerajaan dan GLC untuk empat pemimpin negeri itu.
Dalam perkembangan mutakhir, di sebalik Timbalan Presiden UMNO, Mohamad Hasan menolak tawaran jawatan dalam GLC, Ahli MT UMNO, Abdul Rahman Dahlan menegaskan, pemimpin nombor dua UMNO itu sepatutnya dilantik sebagai menteri atau timbalan perdana menteri oleh Muhyiddin.
Sekali fikir, kalau ditawarkan jawatan menteri, tentu mustahil Tok Mat Hasan menolaknya, apa lagi jika ditawarkan jawatan timbalan perdana menteri.
Selain itu, kritikan beberapa pemimpin UMNO terhadap Azmin Ali berhubung penolakan 9 negeri untuk melaksanakan PKPB turit dilihat sebagai suatu bentuk tekanan secara tidak langsung terhadap Muhyiddin.
Dengan semua ini, hubungan UMNO dengan Muhyiddin dan Bersatu dalam PN, kalau pun belum retak, ia bolehlah dikata dalam keadaan suam-suam kuku situasinya.
Meskipun Muhyiddin mengatakan rakyat sudah muak dengan cerita-cerita politik, tetapi bagi UMNO, mereka tidak pernah muak melakukan tuntutan dan tekanan sehinggalah semua kehendak mereka dipenuhi.
Secara umumnya, sekurang-kurangnya ada lima cabaran di depan Muhyiddin yang boleh menyebabkan beliau hilang jawatannya dan dengan tekanan berterusan daripada UMNO, sampai bilakah kemampuannya untuk bertahan?
Pertama, sidang Parlimen 18 Mei depan ini adalah penangguhan daripada tarikh asal yang yang sepatutnya pada 9 Mac. Ia ditangguhkan berikutan Muhyiddin baru mengangkat sumpah pada 1 Mac dan kerana bimbang usul tidak percaya akan dikemukakan terhadapnya, beliau telah menangguhkannya kepada 18 Mei.
Oleh kerana wabak Covid-19 sedang melanda, sidang Parlimen 18 Mei nanti hanya diadakan selama sehari dan sesuai dengan surat pemberitahuan kepada Ahli-Ahli Parlimen bahawa tiada usul, pertanyaan lisan atau sessi soal jawatan, kemungkinan besar tiada usul undi tidak percaya dapat dikemukakan pada hari tersebut.
Tetapi, selain PH berterusan mendesak agar sidang Parlimen penuh selama 14 hari diadakan, terbaru, Ahli-Ahli Parlimen Bersatu yang pro Tun Mahathir Mohamad, Warisan dan PH telah pun bergabung tenaga membuat desakan yang sama.
Kesepakatan baru ini tentu saja tambah menggerunkan Muhyiddin, apalagi Tun Mahathir sudah memutuskan untuk duduk di barisan pembangkang bersama PH di dalam Parlimen.
Untuk itu, sidang Parlimen 18 Mei ini, kalau pun usul undi tidak percaya tidak berjaya dikemukakan kerana keengganan Muhyiddin mengadakan sidang penuh, imej beliau sudah pun tambah merudum dan beliau lebih dilihat sebagai pemimpin yang penakut.
Kedua, sidang Parlimen seterusnya pada bulan Julai tidak dapat dielakkan daripada diadakan, selain untuk membentangkan banyak rang undang-undang yang tertangguh, ia juga perlu untuk membahas titah ucapan Yang Dipertuan Agong yang disampaikan baginda pada 18 Mei sebelumnya.
Dalam sidang itu nanti, sukar untuk Muhyiddin mengelakkan diri daripada berdepan usul undi tidak percaya terhadapnya. Mahu tidak mahu, bellau mesti mempersiapkan 112 Ahli Parlimen cukup dengan habuan jawatan serta kedudukan sebelum bermulanya sidang Parlimen Julai yang dijadual pada 13 Julai hingga 27 Ogos.
Ada seorang dua yang berkecil hati atau berasa jawatan yang diberikan tidak sepadan dengan martabat diri, bererti kedudukan Muhyiddin berada dalam bahaya.
Begitu pun, kejayaan usul undi tidak percaya itu juga bergantung kepada sejauh mana Tun Mahathir, Anwar Ibrahim dan PH dapat mencapai persefahaman untuk bekerjasama semula.
Gerakan Tun Mahathir secara sendirian atau Anwar secara sendirian, tidak mungkin mampu membuahkan kejayaan untuk menjatuhkan Muhyiddin dan mahu tidak mahu, mereka mesti bergabung semula.
Tetapi dengan kesediaan Tun Mahathir untuk duduk di barisan pembangkang bersama PH dan setujunya beliau mengeluarkan kenyataan media bersama PH serta Warisan menuntut sidang Parlimen semalam dengan sendirinya memperlihatkan persefahaman dengan Anwar hampir pasti terjalin semula.
Ketiga, sekiranya usul undi tak percaya kepada Muhyiddin tidak berjaya dibawa pada Sidang Parlimen Julai disebabkan Speaker tidak memberi laluan kerana mahu mendahulukan usul-usul kerajaan, usul tersebut boleh dibawa semula pada Sidang Parlimen seterusnya yang dijadual 28 September hingga 26 November.
Namun, jika kerajaan terus berhelah tidak membenarkannya juga, pihak pembangkang atau PH boleh melakukannya dengan cara tidak menyokong kelulusan Belanjawan 2021.
Jika pembangkang berjaya menolak kelulusan Belanjawan 2021, kerajaan yang dipimpin oleh Muhyiddin selaku Perdana Menteri akan tumbang dengan sendirinya.
Keempat, tahun 2021 adalah tahun pemilihan bagi UMNO dan tahun tersebut adalah kritikal bagi Zahid Hamidi dari segi mempertahankan jawatannya selaku Presiden UMNO.
Kiranya menjelang tahun 2021 iaitu tahun depan, belum ternampak tanda-tanda Muhyiddin sedia campurtangan dalam kes mahkamah yang sedang dihadapi Zahid Hamidi, Najib Razak dan lain-lain pemimpin UMNO, ramai yang percaya bahawa UMNO akan menarik diri keluar daripada PN.
Keghairahan UMNO menggugat kerajaan PH sehingga ia tumbang bukanlah kerana faktor DAP, Melayu terancam, Islam tergugat atau apa-apa sebab yang lain, sebaliknya faktor terbesarnya ialah kerana kes mahkamah yang sedang dihadapi beberapa pemimpinnya, terutama Zahid Hamidi dan Najib Razak.
Harus disedari bahawa tanpa kesediaan Muhyiddin untuk campurtangan dalam kes mahkamah yang sedang dihadapinya, Zahid Hamidi hampir pasti akan kehilangan jawatan Presiden UMNO yang disandangnya jika beliau dicabar oleh pemimpin lain yang ada jawatan menteri dalam kerajaan.
Dalam budaya UMNO, di mana ada gula, disitulah banyak semut akan datang.
Setelah bersusah payah bekerjasama menyokong Muhyiddin menjadi Perdana Menteri, Zahid Hamidi pasti tidak mahu ia akhirnya akan menyebabkan beliau kerugian dengan kehilangan jawatan Presiden UMNO yang disandangnya sekarang.
Pemimpin UMNO lain yang ada kes mahkamah juga lebih mungkin bersama Zahid Hamidi dalam perkara ini.
Situasi kelima iaitu PRU15 yang dijangka bakal diadakan pada tahun 2023 adalah merupakan tarikh mati yang tidak dapat dielakkan bagi PN berdasarkan pengesahan Timbalan Presiden UMNO, Tok Mat Hasan yang mengatakan parti itu hanya mahu bekerjasama dengan Pas melalui Muafakat Nasional dalam pilihanraya tersebut.
Dengan UMNO, BN dan Pas bakal bergabung dalam MN untuk berhadapan dengan PH yang dalam PRU15 akan datang, Bersatu pro Muhyiddin yang sekarang bersama UMNO, Pas dan GPS membentuk kerajaan PN tanpa berdaftar, hanya akan terbiar sendirian tanpa teman yang meyakinkan untuk memenangi pilihanraya.
Berdasarkan lima situasi cabaran tersebut, sampai ke tahap manakah Muhyiddin mampu bertahan?
Paling ramai menjangkakan, terutama melihat tekanan UMNO yang makin mencengkam, Muhyiddin diramal tidak mungkin mampu membawa hayat politiknya melepasi tahun 2021. (ShahbudinHusin 05/05/2020)