*18 Mei 2020*
*PIMPINAN PARTI MENJUNJUNG KASIH KE ATAS TITAH DYMM TUANKU*
Ahli-Ahli Parlimen dari Pakatan Harapan, Bersatu, Warisan dan UPKO hari ini menjunjung setinggi-tinggi kasih ke atas DYMM Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong yang berkenan bercemar duli menyampaikan Titah Diraja kepada Majlis Parlimen pagi ini.
Mengikuti keseluruhan titah Tuanku, pelbagai isu dan perkara disentuh namun ianya berkisar di atas paksi-paksi yang sama: pembelaan nasib rakyat, keperluan politik matang, bersih dan bebas rasuah, serta rasa kasih dan hormat terhadap agama dan kedudukan Raja-Raja Melayu.
Dalam hari-hari yang akan datang, Ahli-Ahli Parlimen dari Pakatan Harapan, Bersatu, Warisan dan UPKO akan memainkan peranan semak dan imbang demi memastikan dasar-dasar seperti Wawasan Kemakmuran Bersama, pelan anti-rasuah, pembangunan prasarana kritikal terutama di Sabah dan Sarawak, isu kemiskinan dan jurang ekonomi di antara wilayah diusahakan sebaik mungkin.
Kami menyanjung tinggi titah Tuanku yang khuatir dengan budaya rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa kerana ia mampu merencat pembangunan serta merosak imej Negara di peringkat antarabangsa.
Sepertimana kes yang membabitkan Riza Aziz di mana keputusan untuk membebaskannya akan memperlihatkan bahawa kita tidak serius menangani gejala tersebut. Kes ini telah menjejaskan imej Negara di peringkat antarabangsa.
Kami juga berharap isu Covid-19 terutamanya berkaitan dengan pakej rangsangan dapat diberi tumpuan khusus di mana banyak laporan berlakunya ketirisan dan ini menyebabkan bantuan ini tidak sampai kepada golongan sasar. Perkara ini amat merisaukan kerana ia membabitkan golongan yang amat memerlukan bantuan pada ketika ini dan kami merasakan ianya perlu dibahaskan seberapa segera.
Kami turut menerima baik peringatan Tuanku bahawa perbezaan pendapat tidak harus diakhiri dengan caci mencaci, serta keperluan menangani isu polarisasi kaum dan membendung segala bentuk provokasi dan fahaman serta nilai yang bertentangan dengan norma, adat dan undang-undang.
Akhir sekali, Ahli-Ahli Parlimen dari Pakatan Harapan, Bersatu, Warisan dan Upko juga turut bersama menyatakan penghargaan yang tidak terhingga buat semua petugas barisan hadapan yang telah mencurahkan bakti demi mempertahan rakyat dan negara dari wabak Covid-19.
YB Datuk Seri Anwar Ibrahim
Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN)
Ketua Pembangkang
YB Hj Mohamad Sabu
Parti Amanah Negara (AMANAH)
YB Lim Guan Eng
Parti Tindakan Demokratik (DAP)
YB Tun Dr Mahathir Mohamad
Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU)
YAB Datuk Seri Shafie Apdal Parti Warisan Sabah (WARISAN)
YB Datuk Seri Madius Tangau
Pertubuhan Pasok Momogun Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO)