114 KERUSI DI PIHAK KERAJAAN BUKAN SELAMAT BAGI MUHYIDDIN


Dalam Sidang Parlimen yang hanya ada acara titah perasmian Yang Dipertuan Agong hari ini, dilaporkan seramai 114 Ahli Parlimen duduk di barisan kerajaan.
Seramai 108 Ahli Parlimen lagi adalah bersama barisan pembangkang.
Berdasarkan jumlah Ahli Parlimen adalah seramai 222 orang dan majoriti paling minima ialah 112, ertinya Muhyiddin Yassin hanya ada lebih dua daripada jumlah majoriti minima yang sepatutnya untuk membentuk kerajaan.
Dalam erti kata lain, sudahlah kerajaan ini dibentuk bukan melalui mandat rakyat dalam pilihanraya, jumlah 114 ini juga adalah majoriti paling lekeh yang pernah dikecapi oleh mana-mana Perdana Menteri sebelum ini.
Pun begitu, ramai yang berkata, oleh kerana Muhyiddin Yassin sudah pun ada cukup majoriti di Parlimen, kedudukannya tidak perlu dipertikai dan diungkit-ungkit lagi.
Betulkah begitu?
Sebenarnya jumlah 114 yang duduk bersama di barisan kerajaan itu masih tidak sah sifatnya, melainkan jika dilakukan undian terhadap mereka terlebih dahulu.
Hanya setelah undian dilakukan, barulah dapat disahkan sama ada duduknya mereka itu adalah sama dengan undi yang diberikannya.
Sebab itu, perlunya usul tidak percaya dibenar untuk dibentangkan kerana hanya dengan itu kemutlakan sokongan seseorang itu dapat dipastikan tanpa sebarang keraguan.
Dengan 114 yang duduk di barisan kerajaan, jika undian secara sulit dilakukan dalam usul tidak percaya, apakah angka itu tidak berubah atau berpotensi boleh berkurang?
Berbanding 108 yang berani menzahirkan diri mereka duduk di barisan pembangkang dan ia sudah pasti tidak akan berubah, sebaliknya mereka yang duduk di barisan kerajaan, apatah lagi dalam kedudukan PN yang tidak stabil hari ini, segalanya boleh berubah bila-bila masa.
Harus juga diingat, jumlah 114 itu pun diperlolehi setelah Muhyiddin melambakkan kedudukan dalam GLC dan lantikan duta rekaan bertaraf menteri kepada mereka.
Bayangkan jika tiada apa-apa yang disogokkan ke mulut dan dilapikkan ke punggong Ahli-Ahli Parlimen itu?
Berdasarkan jumlah 114 ini juga kita sudah tahu mengapa Muhyiddin tidak berani membenarkan usul undi tidak percaya dibawa terhadapnya pada sessi Parlimen kali ini.
Hakikatnya, jika usul undi tidak percaya dibentangkan, hampir pasti Muhyiddin akan tergolek dengan mencatat rekod sebagai Perdana Menteri paling singkat dalam sejarah negara kerana hanya tiga atau empat peralihan undi saja diperlukan untuk menjatuhkannya.
Selain itu, dengan jumlah 114 Ahli Parlimen bersamanya sekarang, Muhyiddin dengan sendirinya semakin tidak selesa untuk menghadapi sidang Parlimen pada 13 Julai depan.
Malah, angka ini sebenarnya membuatkan beliau semakin diserang demam sejuk untuk menghadapi cabaran yang bakal mendatang pada Julai akan datang.
Segalanya mungkin boleh berlaku menjelang sidang Julai nanti, lebih-lebih lagi dalam keadaan ekonomi tambah merudum dan kebangkitan rakyat mungkin makin terserlah akibat ramai yang hilang pekerjaan dan kelaparan, barangkali senang-senang lima enam Ahli Parlimen kerajaan yang akan berubah pendirian.
Di pihak pembangkang pula, keadaan itu sentiasa memberi kelebihan kepada mereka untuk terus memberi tekanan bagi menukar kerajaan.
Pokoknya, jumlah 114 ini bukanlah angka yang selamat buat Muhyiddin, tetapi jumlah yang akan terus membuatnya tidak tidur lena selepas ini. (ShahbudinHusin 18/05/2020)