Perjanjian dengan Riza merugikan, tiada jumlah baharu – Tommy
Perjanjian antara pihak pendakwaan dan Riza Aziz yang dicapai baru-baru ini amat merugikan negara, kata bekas Peguam Negara Tommy Thomas.
Menurut Tommy, Riza tidak menawarkan pembayaran jumlah wang baharu dalam perjanjiannya dengan pihak pendakwaan untuk mengembalikan sebanyak AS$108 juta.
Kata Thomas, wang berkenaan adalah aset yang sudah disita oleh Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ).
“Riza tidak menawarkan untuk membuat pembayaran baharu atau bayaran daripada mana-mana sumber selain set yang disita DoJ.
“Berdasarkan diplomasi peribadi, kami menjalin hubungan yang kukuh dengan DoJ setelah saya memegang jawatan. Mereka telah mengembalikan berbilion ringgit, dan lebih banyak wang mungkin dikeluarkan oleh DoJ pada masa akan datang,” kata Thomas dalam satu kenyataan hari ini sebagai tindak balas kepada kenyataan Peguam Negara Idrus Harun sebelum ini.
Idrus semalam berkata, susulan perjanjian dengan Riza, Malaysia dijangka akan mendapat semula kira-kira AS$108 juta.
“Dengan rasa hormat, ini adalah untuk mengalihkan tumpuan.
“Tujuan mendakwa Riza bukan untuk memberi peluang untuk mendapatkan semula wang daripada DoJ.
“DoJ akan tetap mengembalikan wang itu dalam apa cara sekalipun kerana ia milik Malaysia dan dicuri dari Malaysia,” kata Thomas.
Tambah Thomas, Riza tidak sepatutnya mendapat kredit kerana mengembalikan wang yang bukan miliknya.
“Oleh itu, ini adalah perjanjian yang baik untuk Riza tetapi teruk bagi Malaysia.”