Sampai bila Muhyiddin boleh bertahan lengahkan sidang Parlimen?

Sampai bila Muhyiddin boleh bertahan lengahkan sidang Parlimen?

Ahli Parlimen Kluang, Liew Chin Tong mempersoalkan berapa lama Tan Sri Muhyiddin Yassin boleh bertahan melengahkan masa agar sidang Parlimen tidak diadakan.
Beliau berkata, tindakan Muhyiddin itu menggambarkan sebenarnya beliau bukan sahaja takut kepada undi rasmi yang akan dibawa Ahli Parlimen Langkawi, bahkan tidak yakin dengan jumlah sokongan yang diperolehinya ketika ini.
“Sebenarnya kita tak tahu berapa lama Muhyiddin boleh bertahan tanpa panggil Parlimen.
“(Muhyiddin) bukan sahaja takut undi tak percaya secara rasmi yang akan dibentang (Ahli Parlimen) Langkawi, tapi dia takut (terhadap) apa sahaja undi yang dia tidak yakin.
“Kerana sebenarnya walaupun ada atau tidak usul tak percaya secara rasmi, setiap undi dalam Parlimen boleh dianggap rakyat sebagai undi tak percaya,” katanya dalam Ceramah Harapan atas talian bertajuk ‘Kembalikan Mandat Rakyat – Undi Tak Percaya’ malam tadi.
Turut serta dalam ceramah yang dimoderatorkan Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil itu adalah Pengarah Komunikasi AMANAH Nasional, Khalid Abdul Samad; Naib Presiden PKR, Dr Xavier Jayakumar; dan Datuk VK Liew.
Ahli Parlimen DAP Johor itu turut mengulas isu penukaran Setiausaha Dewan Rakyat hanya lima hari sebelum sidang Parlimen diadakan yang masih tiada penjelasan diberikan.
Malah katanya, pakej rangsangan ekonomi yang dibentangkan kerajaan PN juga tidak pernah dibahaskan di Parlimen yang didakwa ianya didorong faktor kekurangan sokongan.
Namun begitu Chin Tong berkata, pada akhirnya Muhyiddin masih perlu mengadakan sidang Parlimen bagi membahaskan peruntukan belanjawan 2021 di mana menurutnya, kegagalan membentang bajet tersebut bakal menyebabkan kerajaan tidak boleh lagi berfungsi.
“Ini adalah faktor penting untuk kita faham bagaimana Parlimen berfungsi. Walaupun dia boleh guna pelbagai cara menghalang undi tak percaya, tetapi dia tidak boleh lari daripada menghadapi Parlimen dan membentangkan bajet,” ulasnya.

No comments: