‪Memahami Senario Parlimen 18 Mei 2020‬



Ahmad Daniel

‪Menjadi isu susunan tempat duduk Ahli-Ahli Dewan Rakyat dalam menghadiri istiadat Titah DiRaja dalam Istiadat Pembukaan Parlimen bagi Mesyuarat Pertama, Penggal Ketiga, Parlimen Keempat Belas hari ini.‬

‪Susunannya diatur oleh kakitangan pejabat Setiausaha Dewan Rakyat. Perlu difahami Setiausaha Dewan Rakyat yang baru dilantik pada 13 Mei 2020.‬

‪Akibat daripada susunan itu, ia menunjukkan bahawa Perdana Menteri Muhyiddin Yassin seolah-olah mempunyai majoriti dengan sokongan 114 Ahli-Ahli Dewan Rakyat. Kekeliruan telah berlaku kerana terdapat MP pembangkang tersalah disenaraikan dalam blok Kerajaan yang memberi gambaran tidak tepat Kerajaan Muhyiddin mempunyai majoriti 2 kerusi.‬

‪Menurut plan tempat duduk itu juga, blok pembangkang terdiri daripada 107 Ahli Dewan Rakyat, iaitu DAP 42, PKR 39, Amanah 11, Warisan 9, Bersatu 5 dan UPKO 1.‬

‪Secara atas kertas dan mengikut plan pegawai Setiausaha Dewan Rakyat yang baru itu, Kerajaan Muhyiddin dilihat mempunyai 114 kerusi, Pembangkang 107 dan 1 Bebas.‬

‪Itu kedudukan atas kertas. Secara nyatanya, Kerajaan yang dikatakan bermajoriti 2 kerusi masih belum membuktikannya.‬

‪Petang ini, MP Sri Aman Masir Kujat yang disenaraikan dalam blok Kerajaan dengan secara terbuka mengorak langkah menjelaskan dia adalah pembangkang kepada Kerajaan Muhyiddin.‬

Masih ada beberapa MP yang diletakkan dalam blok Kerajaan belum jelas menyatakan sokongan mereka, samada bersama Kerajaan atau Pembangkang.‬

‪Oleh yang demikian, kedudukan terakhir atas kertas, blok Kerajaan mempunyai 113 kerusi, atau majoriti 1 kerusi masih diragui melainkan pengundian berlangsung.

‪Maka, tidaklah sukar untuk memahami kenapa Mesyuarat Pertama, Penggal Ketiga hari ini hanya 1 hari dan tiada sidang selepas Titah Diraja bagi mengelakkan Usul Undi Tidak Percaya itu daripada dibahas dan diundi. COVID-19 cuma helah untuk tidak meneruskan persidangan.‬

‪Apa yang menyulitkan Kerajaan jika persidangan diteruskan selepas Titah Diraja ialah PM Muhyiddin akan terdedah kepada Usul Undi Tidak Percaya.‬

‪Jika Usul itu dibenarkan, proses pengundian oleh Ahli-Ahli secara belahbahagian tidak dapat dielakkan.‬

‪Menurut Peraturan 46(4), Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat, jika lebih lima belas orang Ahli bangun meminta diadakan belahbahagian, maka Yang di-Pertua (Speaker) Dewan Rakyat hendaklah memerintah diadakan belahbahagian itu.‬

‪Melalui proses belahbahagian, tiap-tiap Ahli akan ditanya dan dihitung undi samada ‘Bersetuju’ atau ‘Tidak’ atau menyatakan dengan jelas tidak hendak mengundi, yakni ‘Berkecuali’.‬

‪Dalam pengamatan aku, Usul Undi Tidak Percaya terhadap PM Muhyiddin lebih diyakini akan diluluskan melalui proses belahbahagian ini, dan Kerajaan akan dibuktikan tiada majoriti dalam Dewan.

‪Berdasarkan kepada latar ini, aku tidak hairan apabila melalui Titah Diraja, Kerajaan menyatakan “pemimpin politik supaya tidak mengheret negara sekali lagi ke kancah politik tidak menentu”.‬

‪Ramai rakyat yang di luar kancah Parlimen tidak mengetahui bahawa teks Titah Diraja oleh Yang di-Pertuan Agong dalam setiap kali Istiadat Pembukaan Parlimen adalah teks yang disediakan oleh Jabatan Perdana Menteri.‬

‪Anwar Ibrahim sewaktu membahaskan Usul Menjunjung Kasih Atas Titah Diraja suatu ketika dahulu pernah menyebutkan dalam Parlimen bahawa teks Titah DiRaja adalah disediakan oleh Jabatan Perdana Menteri. Katanya, sebagai Timbalan Perdana Menteri dahulu, beliau pernah bertanggungjawab beberapa kali menyediakan teks Titah Diraja bagi Istiadat Pembukaan Parlimen.‬

‪Agong hanya membaca teks yang disediakan pihak Eksekutif. Secara praktisnya, Titah Diraja tersebut pada hakikatnya mewakili Kerajaan yang berkuasa. Oleh kerana itulah, menjadi kelaziman terdapat usul mengenai Titah Diraja dan dibahaskan dalam Parlimen.‬

‪Jika teks Titah Diraja itu mutlak disediakan Istana Negara, maka apa perlunya Parlimen membuat usul untuk perbahasan Dewan sebagai Aturan Urusan Mesyuarat?

‪Kerajaan Muhyiddin berkata, ia tidak mahu mengheret negara ke kancah politik tidak menentu.‬

‪Kenapa disebut demikian? Jawapan ialah kerana Kerajaan tidak yakin mempunyai majoriti mutlak dalam Dewan Rakyat jika Usul Undi Tidak Percaya dibahas dan diundi.‬

‪Aku berpendapat, jika Kerajaan yakin miliki majoriti, ayat “tidak mahu mengheret negara ke kancah politik tidak menentu” tidak akan menjadi sebahagian teks Titah Diraja yang disediakan oleh Jabatan Perdana Menteri.‬

‪Untuk kekal berkuasa, PM Muhyiddin menunggangi alasan COVID-19 supaya Parlimen hanya 1 hari dengan Titah Diraja. Dalam pada itu, teks Titah disediakan Jabatan Perdana Menteri untuk menidakkan persidangan penuh Parlimen berlangsung.‬

‪Ini memberi nafas kelegaan politik jangka pendek kepada Kerajaan Muhyiddin untuk berkuasa paling tidak sehingga Mesyuarat Kedua, Penggal Ketiga, Parlimen Keempat Belas yang akan bermula pada 13 Julai 2020 hingga 27 Ogos 2020.‬


No comments: