MOU TUBUH PN PETANDA MUHYIDDIN SENTIASA DIHANTUI KETAKUTAN


Tanpa angin, tanpa mesyuarat, tanpa perjumpaan, tanpa berbuka puasa bersama dan secara tiba-tiba saja keluar kenyataan bersama enam parti menyokong penubuhan Perikatan Nasional atau PN melalui kerjasama gabungan parti-parti politik.
Kenyataan bersama itu ditandatangani oleh Muhyiddin Yassin, Presiden Bersatu; Ahmad Zahid Hamidi, Pengerusi BN; Hadi Awang, Presiden Pas; Abang Johari Haji Openg, Pengerusi GPS; Maximus Ongkili, Presiden PBS dan Presiden STAR, Jeffrey Kitingan.
Tetapi, kenyataan bersama ini bukanlah suatu perjanjian, sebaliknya hanya suatu bentuk pemakluman atau memorandum persefahaman atau MOU semata-mata.
Di dunia realiti, terutama ketika mengiringi lawatan Perdana Menteri atau Timbalan Perdana Menteri ke luar negara, MOU perniagaan yang ditandatangani barangkali hanya kurang 10 peratus yang berjaya dijadikan kenyataan, manakala selebihnya kekal sebagai MOU saja tanpa sebarang kemajuan.
Apakah MOU menyokong penubuhan PN ini akan menjadi kenyataan?
Hakikatnya, sukar menjangkakan ia akan menjadi kenyataan kerana UMNO yang merupakan blok terbesar dalam kerajaan tebuk atap ini sejak awal lagi memang tidak sedia untuk kekal lama dalam kerajaan PN yang tidak berdaftar ini atau selama-lamanya berketuakan Muhyiddin.
Zahid Hamidi, timbalannya, Mohamad Hasan dan Najib Razak tanpa berselindung mengatakan kerjasama UMNO dalam PN dan sokongan kepada Muhyiddin selaku Perdana Menteri hanyalah sehingga Parlimen dibubarkan saja.
Selepas itu dan untuk menghadapi PRU15, UMNO tidak ingin lagi bersama Bersatu, sebaliknya hanya ingin bekerjasama dengan Pas melalui Muafakat Nasional atau MN yang telah dimuafakati sebelum itu.
Zahid Hamidi selaku Pengerusi BN baru-baru ini menegaskan bahawa pendaftaran PN sebagai sebuah gabungan politik perlu melalui proses tertentu dalam parti-parti gabungan itu terlebih dahulu.
Walaupun tidak dihuraikan proses tertentu itu, ia dalam erti kata lain bermaksud, BN dan parti komponennya tidak akan semudah itu untuk bersetuju dengan penubuhan PN.
Setiausaha Agung BN, Annuar Musa dalam dalihnya berkata, PN tidak perlu tergesa-gesa untuk didaftarkan kerana tarikh PRU15 masih lama lagi.
Ehhh….sekarang sudah pertengahan tahun 2020, adakah tahun 2023 di mana PRU15 selewat-lewatnya mesti diadakan mahu dikata masih lama lagi?
Sementara itu, Pas pula langsung tidak pernah berbunyi apa-apa mengenai PN dan ratib mereka, sama juga seperti UMNO, adalah tentang MN dan bukan tentang PN.
Alih-alih, sehari sebelum Sidang Parlimen diadakan, tiba-tiba keluar kenyataan bersama tentang adanya MOU menyokong penubuhan PN?
Apa yang Muhyiddin mahu tunjukkan daripada semua ini?
Apakah beliau ingin membuktikan bahawa sebelum pembukaan Sidang Parlimen dirasmikan oleh Yang Dipertuan Agong pagi ini, sokongan majoriti yang dimilikinya sudah lebih daripada 112 Ahli Parlimen?
Jika begitu, adakah sebelum MOU ini ditandatangani, sokongannya masih tidak mencukupi?
Tetapi, yang lebih pelik lagi ialah tindakan Muhyiddin menunjuk-nunjuk sokongan yang dimilikinya ini sebenarnya tidak memberi kesan apa-apa kepada sesiapa pun juga.
Ini kerana Sidang Parlimen sessi ini hanya ada titah perasmian saja dan pembentangan sebarang usul, termasuk usul tidak percaya sudah ditiadakan olehnya sendiri melalui penggunaan kuasa selaku Ketua Majlis Dewan Rakyat.
Jadi, untuk apa ditunjuk-tunjuk kekuatan yang dimilikinya kalau tidak ada usul tidak percaya dan tiada undian untuk membuktikan sokongan yang dimiliknya?
Ternampak dalam ini Muhyiddin masih dihantui dan diburu ketakutan tentang sokongan Ahli-Ahli Parlimen terhadapnya, meskipun mereka sudah diberi pelbagai jawatan serta kemewahan dalam kerajaan.
Kesiannnnnn kan??? 

(ShahbudinHusin 18/05/2020)