Takiyuddin seperti mahu nafikan ‘exit strategy’ untuk Parlimen Malaysia

Takiyuddin seperti mahu nafikan ‘exit strategy’ untuk Parlimen Malaysia

Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil kesal dengan kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Takiyuddin Hassan yang menidakkan keperluan mengadakan sidang Parlimen yang lebih lama atas alasan ancaman Covid-19.
Fahmi yang juga ahli Parlimen Lembah Pantai itu berkata, kenyataan Takiyuddin seperti menafikan perlunya satu strategi keluar (exit strategy) buat Parlimen Malaysia.
“Sebagai Menteri yang bertanggungjawab ke atas Parlimen, sepatutnya beliau bertindak sebagai jemaah Menteri pertama yang mengumumkan langkah inovatif bagi menyesuaikan persidangan Parlimen dengan kebiasaan baharu (new normal).
“(dan) bukannya Menteri pertama yang mengumumkan setiap ahli Parlimen penyokong kerajaan bakal diberi jawatan mengepalai Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Pada masa sama, beliau mempersoalkan adakah Takiyuddin yang juga seorang peguam itu, terlepas pandang bahawa Mahkamah Persekutuan telahpun mula menyesuaikan perjalanan mahkamah dengan situasi sekarang.
Malah katanya, ianya telah berlangsung sejak 23 April lalu lagi, di mana prosiding Mahkamah Rayuan disiar secara langsung secara dalam talian.
“Ini dilakukan bagi membolehkan orang awam untuk melihat secara langsung pendengaran kes yang dijalankan seperti di mahkamah terbuka dan juga memastikan akses kepada keadilan adalah berterusan.
“Apakah YB Menteri tidak mahu memastikan akses rakyat Malaysia kepada demokrasi juga berterusan?” soalnya.
Semalam, Takiyuddin berkata, kerajaan mengambil kira keselamatan semua pihak yang terlibat dalam urusan persidangan Dewan Rakyat pada 18 Mei depan.
Menurutnya, kerajaan membuat keputusan itu berdasarkan perkembangan semasa khususnya dalam mengawal dan menamatkan ancaman wabak Covid-19 serta langkah segera dan penting bagi membantu rakyat menangani kesan jangka pendek.

No comments: