RAKYAT MUAK CERITA-CERITA POLITIK, CARA MUHYIDDIN MENYINDIR DAN MULA RIMAS TERHADAP UMNO



Setelah hampir dua bulan memegang jawatan Perdana Menteri melalui pengkhianatan tebuk atap kepada PH, Muhyiddin Yassin tak semena-mena berkata, rakyat kini sudah muak mendengar cerita-cerita politik.

Katanya, rakyat lebih ingin tahu apa yang dilakukan kerajaan terhadap mereka dalam situasi pandemik Covid-19 sekarang ini.

“Saya dalam kerajaan, sejak awal saya duduk di kerusi PM saya tak fikir soal politik. Rakyat tak nak dengar dah, dah muak cerita-cerita tu.
“Yang mereka nak tahu apa kerajaan buat, apa PM, jemaah menteri, pentadbiran ini laksanakan untuk menangani isu penting yang mereka hadapi
“Saya tak ada dalam kenyataan sebelum ni, hatta sekarang ni, nak mengulas soal-soal berkaitan politik.
“Nanti orang kata soal Covid-19 tak selesai, dia cerita soal parti dia, gabungan dia, kerajaan dia, keabsahan dia, ni rakyat tak minat. Saya faham tentang itu,” kata Muhyiddin lagi.

Alamak…apakah Muhyiddin sendiri sudah lupa kedudukan dirinya sebagai orang politik?

Dan siapa yang Muhyiddin tujukan kata-katanya ini?

Sebagai Perdana Menteri, lebih-lebih lagi dengan memperolehi kuasa melalui tebuk atap, Muhyiddin sebenarnya tidak boleh memisahkan dirinya daripada aspek politik.

Beliau adalah orang politik, ada jawatan politik, duduk sebagai Perdana Menteri atas kapasiti politik, menteri-menterinya orang politik dan rakan-rakannya juga ramai orang politik, maka mana mungkin untuk mengenepikan faktor atau cerita politik dalam lingkungan kehidupan atau kerja sehariannya.

Muhyiddin tidak harus jadi orang kampung yang apabila sudah berjaya di bandar, tetapi tidak mahu lagi balik ke kampung yang merupakan tempat asal kelahirannya.
Kerja pentadbiran, membantu rakyat dan kerja politik haruslah berjalan seiring.

Jika tidak, mengapa semasa Covid-19 tengah melanda, beliau memecat Setiausaha Agung Bersatu, Marzuki Yahya dan melantik Hamzah Zainuddin sebagai penggantinya?
Bukankah itu hal politik?

Mengapa tidak ditangguhkan buat sementara terlebih dahulu perlantikan itu?

Begitu juga dengan lantikan pengerusi-pengerusi GLC untuk mengukuhkan kedudukannya sebagai Perdana Menteri, tidakkah ianya merupakan lantikan politik?

Mengapa tidak ditangguhkan sehingga berakhir pandemik Covid-19 ini?

Tentunya dengan peredaran masa dan kedudukan majoritinya yang semakin tidak menentu, Muhyiddin tidak akan muak untuk terus membuat lantikan politik di kalangan Ahli-Ahli Parlimen untuk mengetuai GLC bagi memastikan kedudukan politiknya sentiasa terjamin.

Sebenarnya, kalau mahu dikira muak, rakyat paling muak mendengar lantikan demi lantikan berasaskan politik yang paling teruk dari segi kelayakan serta kemampuan yang dilakukannya yang tidak pernah berlaku dalam mana-mana era sebelum ini.

Begitu pun, berdasarkan situasi semasa, ingatan Muhyiddin berkaitan rakyat sudah muak dengan cerita-cerita politik, walaupun beliau seperti Melayu mudah yang mudah lupa kepada asal usul dan perlakuan sendiri, paling mungkin ia adalah ditujukan kepada UMNO dan dua pemimpin utamanya, Zahid Hamidi serta Mohamad Hasan.

Ini kerana, UMNO yang paling banyak membuat tuntutan tidak puas hati berhubung kedudukan kabinet sehingga Presiden UMNO, Zahid Hamidi mengumumkan sokongan kepada PN bukan melibatkan UMNO sebagai sebuah parti, tetapi hanya membabitkan Ahli-Ahli Parlimennya secara individu saja.

Pemimpin UMNO yang tidak beroleh jawatan menteri turut satu persatu meluahkan rasa tidak puas hati terhadap Muhyiddin, termasuk antaranya mendesak lebih baik Parlimen dibubarkan.

Kemudian Najib Razak pula mengatakan sokongan UMNO kepada PN ada hadnya iaitu sehingga tarikh Parlimen dibubarkan dan untuk menghadapi PRU15, parti itu hanya komited kepada MN yang disepatinya bersama Pas.

Seterusnya, Zahid Hamidi menulis surat kepada Muhyiddin menuntut empat pemimpin UMNO Sabah agar diberikan jawatan dalam kerajaan dan GLC.

Semalam, Timbalan Presiden UMNO, Mohamad Hasan mengesahkan parti itu tidak akan bersama PN dan Bersatu untuk menghadapi PRU akan datang, walaupun tarikh PRU15 ada kira-kira tiga tahun lagi daripada sekarang.

Apakah kenyataan, desakan dan tuntutan politik daripada UMNO itu mula merimaskan Muhyiddin, lalu beliau menyindir rakan gabungannya itu dengan mengatakan rakyat sudah muak dengan cerita-cerita politik?

 (ShahbudinHusin 26/04/2020)


No comments: