Pemuda Umno berpusing-pusing dalam isu Rohingya

Pemuda Umno berpusing-pusing dalam isu Rohingya



Isu pelarian Rohingya menyaksikan Pemuda Umno berubah-ubah pendirian tanpa cadangan penyelesaian apa lagi tindakan sewajarnya ketika berada dalam kerajaan.
Sikap sayap parti itu yang berpusing-pusing dalam isu etnik tertindas tersebut boleh dilihat hanya dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini.
Terbaharu, Exco Pemuda UMNO Malaysia, Fairuz Edzuan Jamaludin berkata, etnik Rohingya memberi ancaman keselamatan serta terlibat dalam perniagaan tanpa lesen.
Fairuz berpendapat pelarian Rohingya tidak semestinya perlu diterima sewenang-wenangnya untuk memasuki negara ini selain bantuan boleh disalur dalam pelbagai bentuk lain.
“Penyelesaian tuntas isu ini pada dasarnya tetap berbalik kepada PBB. Mereka ini lebih berkuasa. Jika PBB dapat menghentikan penindasan kerajaan Myanmar di Rakhine, nescaya etnik-etnik ini tidak lari merata tempat di dunia,” katanya kelmarin dipetik dari portal Umno Online.
Sikap Pemuda Umno itu berbeza tiga tahun lalu apabila Naib Ketua Pemuda Umno, Khairul Azwan Harun dilapor menyerahkan satu memorandum bantahan kepada Koordinator Residen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di di Wisma PBB di ibu negara.
Khairul Azwan dan rombongannya turut mengangkat plakad dengan tanda pagar Tears For Rohingya dan GPMS pray for Rohingya Muslim pada sidang media di perkarangan Wisma PBB, Bukit Damansara pada 8 September 2017 itu.
Menurut Khairul Azwan, PBB perlu menganjurkan sesi sidang tergempar bertujuan membincangkan perkara teras berlakunya krisis kemanusiaan yang membelenggu etnik Rohingya di Rakhine serta menggesa penubuhan operasi pasukan pengaman di Rakhine.
Bahkan dua tahun sebelum itu, Khairul Azwan bimbang terhadap keadaan yang dihadapi oleh 8,000 rakyat Rohingya dan pelarian Bangladesh yang ketika itu terkandas di laut tanpa makanan dan air.
Khairul Azwan berkata, tindakan kerajaan Myanmar terhadap rakyat Rohingya tidak lagi menjadi perkara domestik tetapi diletakkan sebagai krisis kemanusiaan serantau yang perlukan tindakan segera oleh komuniti ASEAN.
Malah beliau menggesa semua pemimpin muda seluruh negara di bawah naungan ASEAN mengambil pendirian yang lebih proaktif dalam membantu nasib pelarian Rohingya.
“Ini adalah masa untuk bertindak, bukan hanya untuk untuk berbincang, dan hanya tindakan serantau dapat menangani krisis serantau ini.
“Krisis pelarian ini menonjolkan kesepakatan kita dalam menangani perbalahan, sama ada baik mahupun buruk,” katanya dalam kenyataan pada 15 Mei 2015 lalu.

No comments: