Tentera digerakkan bantu kuatkuasa perintah



PETALING JAYA: Tentera akan digerakkan untuk membantu polis menguatkuasakan perintah kawalan pergerakan bagi memastikan orang ramai patuhi arahan kerajaan sepanjang tempoh itu.
Menteri Pertahanan Ismail Sabri Yaakob pada sidang media selepas mesyuarat di Jabatan Perdana Menteri hari ini berkata tentera mula akan digerakkan pada Ahad.
“Kita yakin dengan bantuan daripada pihak tentera kawalan lebih lagi boleh dapat dilaksanakan dan kita berharap rakyat akan terus patuh arahan yang dikeluarkan kerajaan,” katanya.
Ismail berkata laporan polis menunjukkan peningkatan peratusan pematuhan perintah dalam kalangan rakyat, mengatakan orang ramai semakin sedar bahaya Covid-19.
Bagaimanapun masih terdapat insiden di mana masih ramai yang tidak mempedulikan arahan kerajaan, katanya, mengambil contoh ibu bapa membawa anak-anak bermain di taman permainan dan sekumpulan kawan-kawan makan di restoran.
Ismail mengingatkan kerajaan masih mahu mengambil pendekatan nasihat kerana polis sebenarnya boleh menggunakan Akta Polis untuk mengambil tindakan keras terhadap mereka yang berdegil.
“Saya amat berharap tidak perlulah sampai tindakan undang-undang dilaksanakan seperti tangkapan dan sebagainya,” katanya.
Ismail berkata penglibatan tentera ini mengikut Seksyen 5 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit yang memberi kuasa kepada menteri kesihatan untuk memberi kuasa kepada mana-mana agensi yang dfikirkan perlu untuk melaksanakan peraturan yang dikenakan.
“Jadi tidak perlu dipersoalkan dari segi perundangan tentang kuasa polis, tentera dalam melaksanakan apa sahaja yang diperintahkan kerajaan,” katanya.
Perkara penting lain yang disebutkan pada sidang media hari ini:
  • Ismail membidas penyebaran berita palsu mendakwa kerajaan akan mengumumkan perintah darurat dan tentera menyembur racun serangga untuk membunuh Covid-19, mengatakan penyebarnya mahu menyebabkan rakyat panik.

  • Semua pekerja Malaysia di Singapura akan meneruskan pekerjaan masing-masing dan kerajaan Singapura bersetuju untuk menyediakan tempat tinggal untuk mereka selama 2 minggu. “Apabila balik ke Malaysia, pihak Singapura akan buat saringan bagi mempastikan tahap kesihatan mereka.”

  • Penghantaran produk makanan ke Singapura akan diteruskan seperti biasa, tetapi pemandunya akan disaring setiap kali keluar dan masuk.

  • Penubuhan jawatankuasa bersama Malaysia-Singapura di peringkat menteri, ketua setiausaha kementerian dan kerajaan Johor.

  • Ibu bapa yang berada di kampung sempena cuti sekolah diminta untuk kekal di kampung masing-masing.

  • Kerajaan akan menanggung makanan semua 60,000 pelajar yang sedang berada di institusi pengajian tinggi.

  • Seramai 55 orang rakyat Malaysia akan pulang dari Iran pada 22 Mac dan 94 orang akan pulang dari Itali pada 23 Mac.

  • Polis akan terus mengadakan sekatan jalan raya untuk pemeriksaan.

  • Ketua setiausaha setiap kementerian dan swasta akan mengeluarkan surat kebenaran perjalanan untuk para pekerja yang dibenarkan ke pejabat untuk bekerja.

  • Mereka yang sakit tetapi tidak melaporkannya boleh dikenakan tindakan undang-undang.

  • Polis sudah mengenalpasti 4,000 peserta perhimpunan tabligh di ibu negara, yang dikenalpasti sebagai sumber peningkatan kes Covid-19, tetapi tidak secara sukarela ke hospital dan klinik berdekatan.

No comments: