JOHOR PERLU PATUH PERINTAH KAWALAN PERGERAKAN



Merujuk kepada laporan media mengenai kenyataan YAB Menteri Besar Johor Hasni Mohammad semalam, beliau telah menyatakan bahawa Kerajaan Negeri Johor merancang untuk membuka semula sempadan dengan Singapura dalam masa beberapa hari akan datang.
Saya telah menerima pelbagai maklum balas daripada penduduk Johor Bahru yang melahirkan kebimbangan dan pertanyaan mengenai pengumuman Menteri Besar Johor tersebut.
Pengumuman beliau ini ternyata bercanggah dengan penutupan sempadan negara melalui penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula sejak semalam dan sepatutnya akan berakhir pada 31 Mac 2020.
Beliau juga tidak menyatakan dengan jelas alasan mengenai cadangan beliau untuk membuka kembali sempadan dengan Singapura.
Pelaksanaan PKP adalah bertujuan untuk mengurangkan pergerakan manusia dan sentuhan sekaligus mengekang penyebaran virus Covid-19.
Adakah Kerajaan Negeri mampu memberi jaminan sekiranya sempadan dibuka semula, tidak akan berlaku kesesakan di Tambak Johor atau di Laluan Kedua dan memastikan pengguna mengamalkan praktis jarak sosial (social distancing)?
Tindakan yang tidak konsisten dan pengarahan yang tidak jelas daripada pihak kerajaan (samada di Persekutuan dan Negeri) hanya akan mengurangkan lagi keyakinan rakyat terhadap kemampuan Kerajaan untuk mengatasi wabak ini.
Dalam keadaan kes positif Covid-19 masih dilaporkan setiap hari, Menteri Besar Johor sepatutnya lebih peka dengan komitmen dan pengorbanan petugas-petugas Kesihatan yang sedang bertungkus lumus merawat pesakit.
Jangan ambil risiko dan bantu petugas-petugas Kesihatan kita dengan menguatkuasakan PKP.
Sebaliknya, bagi kelansungan ekonomi, Kerajaan Negeri sepatutnya memfokuskan kepada usaha mengurangkan beban yang ditanggung oleh rakyat.
Pertama, bagi rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura dan kini berada di Singapura, Kerajaan perlu berbincang dengan Kerajaan Singapura bagi menjamin kebajikan dan kesihatan rakyat kita terpelihara. Walaupun Singapura telah memberikan komitmen untuk memudah cara pekerja Malaysia, terdapat laporan yang mengatakan ada pekerja Malaysia yang terpaksa tidur di tempat-tempat awam di Singapura semalam.
Kedua, bagi rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura tetapi kini berada di Johor, Kerajaan perlu berbincang dengan Kerajaan Singapura agar pekerjaan mereka masih dikekalkan dan kesan (kekurangan) pendapatan perlu ditampung oleh majikan.
Ketiga, Kerajaan Negeri Johor sepatutnya menumpukan usaha untuk membantu peniaga-peniaga kecil yang terjejas pendapatan mereka akibat PKP. Kerajaan Johor boleh mengambil Pulau Pinang sebagai contoh apabila Pulau Pinang telah memperuntukkan RM20 juta untuk membantu peniaga-peniaga kecil.
Keempat, Kerajaan Negeri Johor boleh meringankan beban kakitangan awam dengan pembayaran gaji penjawat awam diawalkan seperti yang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri Sembilan.
Malah Kerajaan Negeri Sembilan juga mengumumkan bantuan keperluan asas berjumlah RM3 juta kepada individu berpendapatan rendah yang terjejas punca pendapatan harian akibat Covid-19
Maka saya menyeru kepada Menteri Besar Johor untuk mempertimbangkan semula cadangan untuk membuka semula sempadan Singapura yang bercanggah dengan PKP dan sebaliknya menumpukan usaha membantu meringankan beban rakyat Johor menghadapi krisis ini.
Sebarang tindakan dan pengarahan perlulah konsisten dan jelas serta selari dengan hasrat untuk mengekang penularan Covid-19.
AKMAL NASIR
Ahli Parlimen Johor Bahru
Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Malaysia
19 Mac 2020.

No comments: