MGF12032020_HUMAN-INTEREST-COVID06-1
Pakatan Harapan (PH) hari ini menggesa kerajaan memberikan insentif tambahan kepada penjawat awam yang berada di barisan hadapan menentang penularan pandemik Covid-19.-Gambar Hiasan.
KUALA LUMPUR – Pakatan Harapan (PH) hari ini menggesa kerajaan memberikan insentif tambahan kepada penjawat awam yang berada di barisan hadapan menentang penularan pandemik Covid-19.
Gabungan itu berkata, pengorbanan mereka yang sanggup berkhidmat meskipun berhadapan dengan risiko tinggi perlu dihargai.
“Rakyat Malaysia amat menghargai pengorbanan penjawat awam yang merupakan pejuang baris hadapan menentang pandemik Covid-19. Oleh itu, insentif tambahan dan kemudahan diperlukan bagi menyokong mereka dalam menjalankan tugas yang berisiko untuk melindungi kesihatan rakyat Malaysia.
“Pada ketika ibu pertiwi dilanda krisis, solidariti dan perpaduan semakin penting untuk memastikan rakyat mengharungi cabaran ini bersama, memastikan tiada siapa yang tercicir dan kebajikan semua rakyat terjamin,” kata kenyataan bersama pimpinan PH.
Kenyataan itu ditandatangani bersama oleh Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.
Dalam masa yang sama, PH juga menggesa kerajaan memberikan bantuan sebanyak RM600 kepada setiap pekerja berpendapatan di bawah RM4,000 yang terpaksa bercuti tanpa gaji akibat Covid-19.
“Tugas segera Kerajaan adalah untuk melandaikan keluk epidemik Covid-19. Pada masa yang sama, adalah penting untuk kerajaan memberi jaminan keselamatan ekonomi buat pekerja dan perniagaan Malaysia dalam masa krisis sebegini supaya kesepaduan sosial terus terpelihara,” jelasnya.
Justeru PH menyifatkan kerajaan perlu melengkapkan Pakej Rangsangan Ekonomi yang telah diumumkan pada 27 Febuari yang lalu.
Gabungan itu berkata, bantuan menerusi pakej itu perlu dipastikan sampai kepada semua sasaran termasuklah pemandu e-hailing, pekerja harian yang hilang punca pendapatan juga kumpulan pekerja yang lain yang memerlukan.
Kerajaan juga digesa memastikan Bank negara menyediakan dana pinjaman tanpa faedah kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) sebagai bantuan perbelanjaan operasi perniagaan dalam keadaan ini.
“Projek-projek kecil bernilai RM2 bilion untuk pembangunan luar bandar yang akan dilaksanakan pada April 2020 tidak mencukupi. Kerajaan perlu meningkatkan perbelanjaan bagi membantu PKS merentas semua sektor, terutamanya pelancongan dan runcit. Pengecualian bayaran cukai dan lesen untuk tiga bulan akan datang perlu dilaksanakan.
“Bank Negara Malaysia harus menyediakan dana pinjaman tanpa faedah untuk memudahkan modal kerja selagi diperlukan untuk semua sektor ekonomi (pada masa ini, kadar pembiayaan. Kemudahan Bantuan Khas yang disediakan untuk mengurangkan kejutan Covid-19 adalah pada 3.75 peratus. Sekiranya langkah-langkah ini tidak mencukupi, pembayaran secara langsung hendaklah dikeluarkan,” tambah mereka.
Selain itu, pembayaran balik pinjaman bank bagi peniaga selama tiga bulan perlu dilaksanakan.
“Ini merupakan peranan pihak bank bagi menjamin keberlangsungan peniagaan dan pekerja untuk mengelakkan berlakunya keruntuhan sistemik,” tambahnya. -MalaysiaGazette