Menteri Kesihatan batuk, melalut jawab soalan program siaran langsung
Warga maya mengkritik jawapan balas Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba dalam program bual bicara di TV1 mengenai Covid-19 malam tadi yang dianggap melalut atau tidak menjawab soalan.
Malah, beliau batuk beberapa kali ketika sedang menjawab soalan sekali gus menimbulkan kebimbangan orang ramai yang menonton siaran langsung tentang kemungkinan beliau telah dijangkiti wabak itu.
Terdahulu, perantara bertanyakan dalam ayat yang mudah, “Bagaimana perkembangan terkini keadaan semasa di hospital dan pasukan perubatan kita?”
Namun, Dr Adham, 58, menjawab dengan menyorot kembali wabak itu tercetus tahun lalu sekali gus menerangkan asal-usul mengapa wabak tersebut dipanggil Covid-19.
“Kalau kita tengok wabak ini sudah bermula sejak bulan 12 (tahun lalu) di Wuhan, China. Wabak itu bermula di situ.
“Sebab itu kita panggil Covid-19. Dia berlaku pada 2019. Kalau dia mula pada 2020 mungkin nama dia Covid-20,” katanya diikuti batuk beberapa kali.
Ahli Parlimen Tenggara merangkap Ketua Penerangan Umno Johor itu kemudiannya secara spontan menekup mulutnya pada sapu tangan sebelum menyambung:
“Inilah cara kita batuk…etika. Kalau kita batuk, tutup mulut,” katanya sebelum menyambung retorik dalam program Bicara Naratif bertajuk Covid-19: Ambil Tahu & Bertindak Segera itu.
Walau bagaimanapun, soalan perantara masih belum dijawab sebaliknya Dr Adham mengaitkan binatang pula sebagai bukan sasaran serangan Covid-19.
“Virus ini dia suka manusia. Kita tidak pernah dengar dia masuk ke haiwan,” katanya selamba.
Pemilik rangkaian Klinik Adham Sdn Bhd itu juga sempat memberitahu tentang tempoh posisinya di Kementerian Kesihatan yang masih terlalu awal.
“Saya baru jadi menteri lapan hari. Hari pertama angkat sumpah sahaja saya sudah buat sesuatu yang perlu saya buat iaitu saya melihat model control.
“Saya pergi ke KLIA (Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur) kerana saya diberitahu kita ada petugas di barisan hadapan dengan penuh dedikasi, bertugas lama.
“Adalah tanggungjawab saya sebagai menteri untuk menjenguk mereka dan memberi semangat supaya terus menjalankan tugas walau apa sekalipun,” ujarnya.