Usah ugut, guna kekerasan terhadap wartawan – Gobind Pada 4 Januari 2020 oleh Pentadbir




Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo mengingatkan semua pihak agar tidak menggunakan kekerasan dan membuat ugutan terhadap wartawan jika tidak bersetuju dengan sesuatu laporan yang dikeluarkan. 

“Tugas wartawan adalah untuk melaporkan fakta supaya maklumat disampaikan kepada masyarakat. Kalau tak setuju dengan laporan itu, ada cara untuk memperbetulkan ataupun mengemukakan pandangan berbeza. 

“Tidak perlu ugutan, gunakan kekerasan ataupun bertindak diluar batasan undang-undang. Saya harap pihak polis akan siasat dan ambil tindakan tegas sekiranya didapati telahpun berlaku sebarang kesalahan,” katanya dalam kenyataan di Facebook, hari ini. 

Mohd Ishak Abdillah Ngah, wartawan penyiaran TV3 Terengganu membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu selepas menerima ugutan bunuh berikutan penyiaran satu laporan berkenaan Sekolah Rendah Islam Darul Iman (SRIDI) Wakaf Mempelam yang beroperasi tanpa kemudahan asas elektrik dan bekalan air.