Pengunduran Maszlee belum selesaikan masalah besar PH
Pengunduran Dr Maszlee Malik sebagai menteri pendidikan sebagai menteri pendidikan bukanlah penyelesaian besar kepada kelemahan kerajaan Pakatan Harapan (PH)
Penganalisis politik berpendapat keyakinan yang rendah terhadap PH melibatkan lebih daripada itu.
Penyarah kanan Universiti Malaya, Dr Awang Azman Awang Pawi berkata kabinet PH perlu berubah lebih banyak, termasuklah peletakan jawatan Dr Mahahthir sendiri untuk memberi laluan kepada peralihan kuasa.
“Perdana menteri perlu membuat keputusan berani, untuk menggantikan mana-mana menteri Kabinet yang tidak menonjol. Bukan sahaja dari Bersatu, tetapi juga dari parti lain sekiranya prestasi mereka tidak memuaskan,” katanya dipetik The Malaysian Insight.
Menurut beliau penguguran Maszlee tidak menaikkan sokongan kepada PH kerana kekurangan keyakinan rakyat bukan terhadap Kementerian Pendidikan semata-mata
“Sekiranya hanya Maszlee yang digugurkan, dan tiada pembaharuan lain, Maszlee hanya dilihat sebagai kambing hitam untuk membuat beberapa tambahan.
“Namun kita tahu terdapat lebih banyak isu yanng melibatkan kementerian lain; isu perpaduan nasional, alam sekitar, Felda dan perumahan,” sambung Awang Azman.
Pensyarah pengajian Melayu Universiti Malaya itu juga percaya, pengundi hanya mahu melihat Dr Mahathir mempercepatkan peralihan kuasa kepada bakal perdana menteri, Anwar Ibrahim.
Peralihan kuasa daripada Dr Mahathir kepada Anwar akan dibuat sebelum berakhirnya penggal PH sebagaimana yang diipersetujui oleh semua parti. Bagaimanapun tiada tarikh ditetapkan, menyebabkan timbul lebih banyak spekulasi dan desas-desus, terutamanya dalam kalangan penyokong PKR.
Seorang lagi penganalisis, Dr Mazlan Ali berkata, mungkin akan berlaku rombakan kabinet yang “kecil namun signifikan” selepas ini sekiranya Tun Mahathir serius ingin mengembalikan sokongan.
“Peletakan jawatan Maszlee menunjukkan Dr Mahathir mengambil serius terhadap semua pandangan terutamanya selepas timbul pelbagai kontroversi, sebelum dan selepas pilihan raya kecil Tanjung Piai. Terdapat juga isu yang memberi kesan kepada PH seperti issu Jawi dan isu lain yang membabitkan Kementerian Pendidikan,” katanya.
Menurut beliau Dr Mahathir perlu yakin dengan individu yang dipilih untuk menggantikan Maszlee dalam portfolio yang sensitif dan kompleks itu.
“Dr Mahathir tidak boleh lagi bereksperimen, beliau perlu meletakkan seseorang yang berpendirian tinggi sebagai ganti,” kata pensyarah sains politik dan pentadbiran awam Universiti Teknologi Malaysia itu.
Mazlan juga bersetuju bahawa lebih banyak yang perlu dilakukan oleh Dr Mahathir terhadap Kabinetnya, kerana peletakan jawatan Maszlee hanyalah “kompromi” sebagai tindak balas terhadap penolakan pengundi kerana kekalahan PH dalam pilihan raya kecil Tanjung Piai.
“Saya rasa Dr Mahathir cuba memperbetulkan beberapa perkara; dengan peletakan jawatan ini, mungkin untuk meredakan keadaan,” tambah Mazlan.
PH kalah di Tanjung Piai kerana pengundi Cina yang menyokongnya pada pilihan raya umum ke-14 tahun lepas. Sementara itu, Barisan Nasional meningkatkan jumlah undi Melayu kerana penyokong PAS, parti Islam itu tidak meletakkan calon pada pilihan raya itu