PENJELASAN BERKAITAN PEMBELIAN KENDERAAN VELLFIRE



Penjelasan Isu Kontrak Kenderaan Baru Menteri dan Pegawai Tinggi Kerajaan

1. Kenderaan bukan dibeli, tapi dipajak

Kerajaan dahulu dan sekarang sebenarnya tidak membeli kenderaan-kenderaan itu. Apa yang berlaku ialah ia akan memajak kenderaan-kenderaan tersebut dari satu syarikat selama empat tahun (untuk kereta menteri dan pegawai jusa) atau tempoh yang dipersetujui.

Ini akan membantu merendahkan kos yang dibayar oleh kerajaan kerana kerajaan tidak dibebankan dengan kos penurunan nilai (depreciating value) kenderaan-kenderaan tersebut.

Selepas empat tahun, kenderaan itu akan diambil balik oleh syarikat pajakan dan terpulang pada syarikat pajakan untuk menjualkannya kembali.

Perlu diingatkan, jika syarikat pajakan mahu menjual kenderaan-kenderaan kerajaan tersebut, harga jualan perlu dimasukkan dengan CUKAI. Walaupun kerajaan membeli kenderaan-kenderaan itu tanpa cukai, syarikat pajakan masih perlu membayar cukai kenderaan bila kenderaan tersebut dijual kepada orang awam sebagai kenderaan terpakai.

2. Pakej pajakan perlu disertai dengan pakej penyelenggaraan

Pakej penyelenggaraan perlu ada di dalam kontrak pajakan. Ini akan membantu kerajaan mengawal perbelanjaan mereka.

Sebelum ini, bila agensi kerajaan mengawal penyelenggaraan kenderaan, banyak ketirisan berlaku dan sering bajet itu tidak dapat ditepati kerana pelbagai insiden.

Dengan pakej penyelenggaraan yang disertakan dengan kontrak pajakan, kerajaan tidak perlu memikirkan kos tambahan penyelenggaraan. 

Ia juga membantu kerajaan dalam penjagaan kenderaan tersebut dan menghindari gejala-gejala kecurian alatganti, salah guna dan rasuah dari berlaku.

Sebenarnya, ini adalah cara terbaik untuk sebuah agensi kerajaan mengawal masalah-masalah ketirisan dari kenderaan-kenderaan milik rakyat itu. Kita ada mendengar masalah alatganti ditukar kepada yang tidak standard dan proses servis yang berlaku di luar sela waktu serta sebagainya.

3. Pakej pajakan memastikan kenderaan ada insurans komprehensif selama tempoh pajakan

Proses ini memastikan semua kenderaan yang digunakan mempunyai insurans lengkap agar ia selamat digunakan.

Ia menghindari kes-kes kemalangan yang membabitkan orang awam dan ia juga memastikan kenderaan mampu dibaiki dengan segera tanpa perlu meminta bajet tambahan dari kerajaan pusat.

Sekiranya kenderaan dipajak selama empat tahun, insurans komprehensif akan diberikan selama empat tahun. Jika tempoh pajakan lebih panjang, ia akan diberikan insurans juga.

4. Formula tempoh pajakan bantu merendahkan kos belanja kerajaan

Kenderaan yang dipajak selalunya mempunyai jangka hayat selama empat tahun. Selepas itu, kenderaan akan ditukar kepada yang baharu.

Cara ini berdasarkan formula pajakan yang telah digunapakai selama ini dan terbukti berjaya menurunkan kos belanjawan kenderaan kerajaan.

Menurut formula ini, ia adalah lebih menguntungkan jika kenderaan ditukar selepas tahun keempat kerana kos penyelenggaraan akan meningkat dan melebihi kos pajakan bulanan.

Formula ini juga digunakan oleh industri pajakan global. 

Namun begitu di Malaysia, ada kenderaan yang terpaksa digunakan lebih dari tempoh tersebut kerana sebab yang akan diterangkan di dalam artikel ini nanti.

5. Toyota Vellfire - kenapa dipilih untuk gantikan Roti John?

Ramai yang beranggapan bahawa Toyota Vellfire yang dipilih untuk kenderaan menteri adalah mahal dan tidak menepati keadaan kewangan negara.

Sebenarnya, kenderaan yang digunakan oleh menteri sekarang sudahpun berusia lebih dari lima tahun dan ia memang perlu ditukar.

Proton Perdana limosin yang digunakan adalah berdasarkan Honda Accord generasi kelapan dan ia memerlukan penyelenggaran yang tinggi kerana jumlah perbatuan dan usianya.

Harga yang dibayar oleh kerajaan adalah harga tanpa cukai dan selalunya syarikat kenderaan akan memberikan pakej yang istimewa untuk kerajaan.

Harga Toyota Vellfire yang ditawarkan kepada kerajaan adalah dalam lingkungan julat harga yang sama dengan kenderaan Menteri sekarang.

Kritik mengatakan Vellfire ialah sebuah kenderaan mewah. Benar tetapi bajet untuk sebuah kenderaan rasmi Menteri memang memampukan mereka untuk membeli kenderaan seperti Perdana Limosin atau Vellfire.

Proton tidak lagi membuat Perdana dan kenderaan-kenderaan dari jenama premium Eropah pula melebihi julat harga yang dicadangkan.

6. Kelemahan Proton antara punca kenapa kerajaan terpaksa mencari jenama luar

Isu Proton gagal menyediakan kenderaan untuk kerajaan adalah isu lama yang sehingga kini masih menjadi masalah.

Sebelum ini, Proton mempunyai model Perdana dan Perdana Limosin untuk dibekalkan kepada pihak kerajaan.

Model Perdana generasi pertama yang disadur dari Mitsubishi itu akhirnya digunakan oleh sesetengah agensi kerajaan sehingga melebihi tempoh pajakan yang disyorkan.

Kerana itu, kos penyelenggaraannya meningkat dengan melampau. Ini ditambah dengan masalah bahawa Mitsubishi dan Proton sendiri sudah tidak menghasilkan alatganti untuk model tersebut.

Selepas itu, kita dapat melihat ada kerajaan negeri yang mula menggunakan kenderaan jenama lain untuk kegunaan pegawai-pegawai tertinggi mereka demi untuk menjimatkan kos.

Hari ini, Proton sudah tidak lagi menghasilkan model Perdana generasi kedua yang dibina menggunakan platform Honda Accord generasi kelapan.

Honda juga tidak lagi mahu menyimpan acuan untuk model tersebut kerana jumlah permintaan yang terlalu rendah. 

Harga alatganti juga memberikan masalah kerana syarikat pajakan yang boleh membeli alatganti dari Proton, dan Proton membelinya dari Honda. 

Paling penting, selepas empat tahun nanti, Proton tidak mampu membekalkan Perdana baharu lagi kerana model itu sudah diberhentikan. 

Kerajaan juga terpaksa memikirkan kenderaan yang perlu digunakan untuk menggantikan Proton Perdana dan Proton Inspira.

Proton Perdana 2.0L yang dikhaskan untuk kegunaan pegawai jusa kerajaan kini digantikan dengan Proton X70, walaupun model itu diimport masuk dari China dan tidak langsung menyokong industri tempatan.

Mungkin kerajaan boleh mewajibkan Geely untuk memastikan kenderaan yang dibekalkan kepada kerajaan perlu mempunyai jumlah komponen kenderaan yang tinggi kerana jika tidak, China sekali lagi "merogol" industri tempatan kita.

7. Polis juga perlu kenderaan baharu

Polis juga memerlukan kenderaan baharu untuk menggantikan kereta peronda (MPV) mereka sekarang, Proton Inspira dan juga Proton Preve.

Kesemua Proton Inspira yang digunakan sudah melewati tempoh pajakan dan kos penyelenggaraan juga meningkat berbanding dengan harga kenderaan. Ia sudah tidak mencapai nilai ekonomi yang berbaloi lagi untuk disimpan.

Sayangnya, Proton tidak lagi mempunyai model untuk menggantikan Inspira ataupun model Preve. Proton Persona tidak sesuai untuk dijadikan kenderaan peronda kerana saiz yang kecil (segmen B). Pihak polis mahukan sebuah kenderaan sedan dari segmen C.

Oleh kerana itu, Careta menjangkakan negara akan melihat pihak polis menggunakan kenderaan CKD segmen C yang dari jenama luar digunakan sebagai kenderaan MPV mereka.

8. Tidak semua agensi menggunakan skim pajakan

Masih ada lagi sejumlah kenderaan yang digunakan oleh kerajaan yang tidak menggunakan skim pajakan.

Ia menyebabkan pelbagai masalah, contohnya dari segi penyelenggaraan dan juga masalah kerana kenderaan yang dipilih tidak sesuai.

Kita juga ada mendengar kenderaan-kenderaan milik agensi kerajaan yang tersadai kerana tidak mempunyai alatganti dan juga bajet penyelenggaraan yang tinggi kerana penggunaan bahan api yang tinggi.

Careta sendiri kadang-kadang terpinga-pinga dengan pilihan yang dilakukan kerana pilihan yang lebih baik dan terbukti secara global tidak mahu digunakan. 

Sebenarnya, garispanduan pemilihan kenderaan perlu telus agar ia boleh difahami oleh semua.

Secara ringkasnya ...

Penggunaan kenderaan oleh kerajaan memang sesuatu yang tidak dapat dielakkan dan cara terbaik ialah cara yang tidak merugikan wang cukai rakyat.

Buat masa sekarang, sistem pajakan yang digunakan memang terbukti lebih menjimatkan, cuma mungkin kerajaan tidak perlu memberikan monopoli kepada hanya satu syarikat sahaja.

C&p..