Di mana silapnya Maszlee? - Mohd Ridhuan Tee Abdullah




Bila Maszlee umum meletakkan jawatan, ada yang membuat petition atas talian, agar PM menolak perletakkan jawatannya. Semua itu sudah terlambat. Buatlah macam manapun, ia tidak akan mengubah keputusan. Selaku NYDP PERKIM, saya amat mengenali pendirian YDP PERKIM iaitu Tun Dr Mahathir Mohamed, walaupun saya tidak mengenali Tun M sebagai Perdana Menteri.

Muhasabah saya kepada Maszlee, hidup macam ibarat roda, ada kalanya kita di atas, tengokla ke bawah jua.

Ketika berada di atas itulah cabaran paling besar, sebab ada kuasa.

Dengan kuasa, kita boleh macam-macam perkara, terutama berkaitan pembinaan negara bangsa, melibat agama, bangsa dan negara. Malangnya, peluang itu tidak digunakan.

Kesilapan masa lalu yang dilakukan BN, tidak banyak diperbetulkan, terutama berkaitan dengan Pendidikan asas atau dasar dalam pembinaan negara bangsa. Tetapi lebih kepada mahu menunjukkan bahawa apa yang mahu dilakukan lebih baik daripada BN. Akhirnya, senjata makan tuan.

Saya tidak pernah hairan jika sesiapapun menjadi Menteri, mereka melakukan pembaharuan kepada dasar-dasar sesebuah kementerian. Memang itu adalah tanggungjawabnya, untuk mengekal, memperbaharui, dan mengubah dasar-dasar mengikut kesesuaian zaman. Itu memang kerja dia, jika tidak, tak guna jadi Menteri.

Apa yang kita mahu lihat apabila seseorang Menteri memegang sesebuah kementerian, terutama kementerian Pendidikan, adalah ketegasan dalam asas berkaitan dasar Pendidikan Negara dalam pembangunan sesebuah negara bangsa yang melibatkan agenda nasional, identiti atau jati diri negara dan Pendidikan berteraskan perlembagaan. Ini tidak boleh dikompromikan.

Pendidikan adalah asas. Kementerian Pendidikan antara paling kanan dalam kerajaan. Nadi kepada pembinaan negara.

Misalnya, sekolah satu aliran, kawalan terhadap sekolah persendirian dan vernacular bukan dikawal Dong Zong, ketegasan dalam tindakan berhubung isu Pendidikan yang diputuskan kerajaan, terbaharu isu jawi, kedudukan bahasa kebangsaan dan sebagainya. Dasar-dasar asas tidak boleh diubah dan dikompromikan.

Soal hapuskan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU), beri makan susu di sekolah, banatuan B40, tukar kasut hitam, berenang di hotel, atau apa jua perkara yang bukan dasar utama, jika itu namanya pembaharuan, hanya perkara biasa jika dapat dilakukan.

Lebih malang lagi, perkara biasapun tidak dapat dilakukan menjadi luar biasa.

Pada hemat saya, berjasa besar Maszlee, kalau dia perkukuhkan Sekolah Wawasan ketika berkuasa iaitu, Sekolah yang menggabung SK/SJKC/T, idea Tun Mahathir ketika menjadi PM keempat. Malangnya, perkara ini langsung tidak disentuh.

Jika Maszlee menyebut sekolah ini pasti Tun M suka. Sekolah Wawasan sepatutnya dikembangkan kerana membawa banyak kebaikannya dalam membina negara bangsa.

Sekolah yang dapat menyatukan semua kaum yang selama ini terpisah. Namun, sekolah ini telah ‘mati’ setelah Tun M tidak lagi menjadi PM, sehinggalah PRU14, Tun M berkuasa semula.

Malangnya, sekolah ini langsung tidak disentuh MAszlee. Walaupun saya tidak nafikan lima buah Sekolah Wawasan yang didirikan itu gagal kerana, tidak mendapat sambutan dan ditentang hebat ultra kiasu. Tetapi idea Tun M sangat baik.

Ultra kiasu menentang Sekolah Wawasan akan mengganggu atau merosakkan proses pencinaan. Perkara ini sepatutnya Menteri tangani, baru nampak hebat. NGO tidak boleh mengubah keputusan kerajaan kerana NGO bukan kerajaan.

Apa yang jelas, Timbalan Menteri ultra kiasu terlalu cepat buat kerja untuk memperhebatkan lagi sekolah vernakular, berbanding dengan menteri itu sendiri. Macam-macam sekolah ini dapat. Diam-diam ultra kiasu buat kerja. Malangnya, ramai Menteri kita bercakap banyak, kerja yang boleh dimanfaatkan untuk agama, bangsa dan negara, tidak kelihatan jelas.

Maszlee lebih teruja melakukan proses ‘pengikraman’ daripada melakukan tanggungjawab sebagai seorang Menteri Pendidikan, iaitu dengan meletakkan kebanyakan orang-orang IKRAM dalam jawatan strategic Pendidikan. Tidak perlu saya sebut satu persatu kerana semua terlalu jelas dan semua orang tahu. Maszlee lupa dia adalah negarawan.

Zaman BN dahulupun tidak seteruk sebegini. Seburuk-buruk BN, masih ada orang-orang yang bukan BN dilantik menjawat jawatan tinggi dalam kementerian. Tetapi Maszlee terlalu terikat dengan IKRAM.

Kita adalah negarawan, bukan lagi ahli atau pemimpin IKRAM.

Mulanya saya tidak mahu komen mengenai perletakan jawatan Maszlee sebagai menteri. Atas permintaan rakan-rakan, saya beratkan tangan untuk menitip secebis tinta buat semua, juga kepada Maszlee.

Pada hemat saya juga, eloklah dia letak sekarang, daripada keadaan bertambah buruk dan kusut. Saya bimbang, lagi lama dia duduk, lagi banyak ‘kerosakan’ yang berlaku terutama berkaitan dengan perkara asas dalam Pendidikan.

Sekurang-kurangnya dia masih dihormati kerana pergi dalam keadaan ada beberapa perkara yang sedikit ‘memihak’ kepadanya. Pengurangan beban guru, prihatin kepada pelajar miskin kumpulan B40, mesra OKU dan lain-lain.

Kenapa saya katakan demikian, pada ketika puncak, tatkala isu jawi enam (kemudian tiga), kita tertunggu apakah pendirian Maszlee. Senyap.

Sama juga isu UEC, kita tertunggu, apa keputusan setelah Pasukan Petugas Dasar ditubuhkan, senyap. Saya pun dipanggil sebagai rakan temubual.

Kalaulah Maszlee, bertegas dalam dua perkara ini sudah cukup untuk melonjakkan namanya, tetapi dia lebih suka mengambil pendekatan senyap.

Maszlee hanya lantang di Parlimen dengan menggelar Najib sebagai perompak.

Tapi Maszlee jangan risau, kalau tidak jadi Menteri sekarang, saya yakin ada habuan jawatan lain yang diberikan kepada beliau. Percayalah. Tidak mustahil menjadi pengerusi dalam salah sebuah GLC.

Sama ada Maszlee menjadi Menteri atau tidak, sistem Pendidikan masih memihak kepada Pendidikan kebangsaan, tetapi lebih kepada Pendidikan vernakular. Yang untung bukan sekolah kebangsaan, tetapi jenis kebangsaan.

Dalam kata lain, ultra kiasu menang besar, ketika sdr Maszlee masih menjadi Menteri, dan sudah tentu paling besar kemenangan apabila meletak jawatan.

Jawi masih dalam dilema, NGO komunis tetap menang. Kita tidak pernah bertegas.

Kesilapan besar Maszlee, terlalu mahu menjaga ultra kiasu, dengan harapan ultra kiasu akan menyokongnya. Nampaknya, Maszlee silap. Maszlee tidak kenal siapa ultra kiasu seperti yang selalu saya nasihatkan. Akhirnya, ultra kiasu ini juga yang menjatuhkan kamu.

Apapun saya boleh beri kredit kepada penambahbaikan yang dibuat di sekolah yang membebankan gutru. Hatta, isteri saya sebagai guru terasa juga keringanan bebanan di sekolah. Terima kasih Cikgu Maszlee