PESANAN BUAT PENGAMPU MAHATHIR: HENTILAH MEROYAN MAHU BELIAU KEKAL SAMPAI HABIS PENGGAL.



Setiap kali isu peralihan kuasa ditimbulkan, setiap kali itu jugalah pengampu dan pembodek Tun Mahathir Mohamad seakan-akan kepanasan dan terus meroyan jadinya.
Mereka bukan saja enggan menerima janji peralihan kuasa dalam tempoh dua tahun itu sebagai sesuatu yang mesti dipatuhi, bahkan melencongkannya lebih jauh dengan mahu Tun Mahathir kekal menjadi Perdana Menteri sehingga habis penggal atau menjelang ketibaan PRU15 pada 2023 akan datang.
Lebih daripada itu, ada juga yang terlebih lajak daripada laju dengan mengatakan Anwar Ibrahim tidak layak sebagai pengganti Tun Mahathir serta perlu diuji terlebih dahulu dengan memastikan kemenangan PH dalam PRU15 akan datang sebelum boleh menduduki kerusi Perdana Menteri.
Sebenarnya, sama seperti Tun Mahathir, mereka inilah manusia-manusia yang mudah lupa serta suka cakap berdolak-dalik setelah kesedapan mendakap kuasa.
Sebelum menang pilihanraya dan beroleh kuasa, semua nampak baik dan seolah-olah sudah insaf sesuai dengan usia yang makin menua.
Malangnya, belang dan tembelang sebenar semuanya timbul seiring dengan nikmat kuasa yang diperolehi.
Kepada pengampu dan pembodek Tun Mahathir, sempena ketibaan tahun 2020 ini, sekali lagi ingin diperingatkan agar berhentilah meroyan dan meminta Perdana Menteri yang sudah berusia lebih 94 tahun terus kekal menerajui negara sehingga habis penggal.
Sejak sebelum PRU14 lagi, isu Tun Mahathir berkhidmat sehingga habis penggal atau sehingga tempoh tibanya PRU15 tidak pernah berbangkit sama sekali.
Yang selalu kedengaran dan difahami ialah Tun Mahathir hanyalah Perdana Menteri sementara sehingga Anwar dibebaskan daripada penjara dan seterusnya boleh mengambil alih teraju pentadbiran negara.
Untuk itu, walaupun tiada tarikh khusus yang disebut, jangka masa dua tahun adalah tempoh yang munasabah yang difahami oleh semua pimpinan PH untuk Anwar memperolehi pengampunan, menjadi Ahli Parlimen dan seterusnya memegang jawatan Perdana Menteri.
Tun Mahathir sendiri sedar tentang tempoh tersebut, sebab itu, baik sebelum PRU14 atau di peringkat awal PH menjadi kerajaan, beliau selalu menyebut keberadaannya sebagai Perdana Menteri hanyalah untuk tempoh dua tahun saja.
Kata Tun Mahathir, tempoh dua tahun itu adalah janji yang akan dikota dan dipatuhinya serta selepas itu akan menyerahkannya kepada Anwar.
Maka itu, berbanding meminta Tun Mahathir berundur dan memberi laluan kepada Anwar menggantikannya dalam tempoh dua tahun adalah suatu kewajaran serta masih dalam lingkungan pelan peralihan kuasa yang dipersetujui lama sebelum ini, sebaliknya meminta Tun Mahathir berkhidmat lebih lama jelas suatu pencabulan terhadap persefahaman yang ada.
Dalam bahasa lebih mudah, tiada salahnya sesiapa meroyan mahu Anwar jadi Perdana Menteri dalam tempoh dua tahun berbanding tidak wajar, tidak patut dan perbuatan tak tahu malu jika pengampu Tun Mahathir lebih meroyan agar beliau dikekalkan sehingga habis penggal.
Hakikatnya, jika ingin PH terus kekal lebih lama sebagai kerajaan dan tidak berpecah, semua pihak termasuk Tun Mahathir serta pengampu dan pembodeknya mestilah kembali semula kepada konsensus dan janji peralihan kuasa itu.
Jangan berdolak-dalik dan berterusan meroyan seolah-olah Tun Mahathir saja yang mampu menerajui negara, sedangkan sejak 19 bulan lalu terlalu banyak kelemahan, ketidakmampuan dan penolakan rakyat terhadapnya yang dapat dirasakan hampir di seluruh ceruk negara.
Atas kesedaran itulah juga Lim Guan Eng baru-baru ini menekankan agar tahun 2020 dijadikan tahun peralihan kuasa, selain tahun untuk memenuhi janji manifesto dan memastikan pertumbuhan ekonomi yang kukuh untuk negara.
Bermakna, selain ekonomi tidak tumbuh dengan baik dan janji manifesto tidak dilaksanakan dengan lancar sejak 19 bulan negara diterajui oleh Tun Mahathir, keyakinan Guan Eng ialah kedua-dua aspek itu akan berjalan dengan lebih bagus setelah berlakunya peralihan kuasa kepada Anwar.
Apakah pengampu dan pembodek Tun Mahathir tidak sedar hakikat penting itu dan bila lagi mahu berhenti daripada terus meroyan? (ShahbudinHusin 04/01/2020)