*KENYATAAN MEDIA 4 JANUARI 2020*



*MAJLIS PRESIDEN PH PERLU SEGERA TETAPKAN TARIKH PERALIHAN KUASA TAHUN INI*

Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Malaysia menyambut baik kenyataan yang dikeluarkan Ketua Setiausaha Sekretariat Pakatan Harapan berkenaan komitmen kita untuk pelaksanaan manifesto dan juga muafakat Pakatan Harapan pada 6 Januari 2018 untuk mengangkat YB Dato’ Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri ke-8 selepas YAB Tun Dr Mahathir Mohamad.

Namun, pada masa yang sama persetujuan agar peralihan berlaku dalam tempoh 2 tahun Pakatan Harapan menjadi kerajaan iaitu sejak Mei 2018 perlu diperincikan bagi menjamin kelangsungan agenda Pakatan Harapan.

Kita seharusnya berterima kasih dan menghormati keputusan peletakkan jawatan Menteri oleh YB Dr Maszlee Malik dan sebelum ini jawatan Menteri Besar Johor oleh YB Osman Sapian.

Pengalaman ini menunjukkan bahawa pertukaran boleh berlaku dengan baik dan harmoni dalam pentadbiran Pakatan Harapan.

Saya percaya penetapan tarikh peralihan kuasa akan mencerminkan kesepakatan yang utuh dalam Pakatan Harapan dan seterusnya mematahkan persepsi pergolakan dalam PH yang sering dimainkan oleh pihak pembangkang.

Maka saya sarankan Sekretariat PH agar memastikan Mesyuarat Majlis Presiden akan datang membuat ketetapan tarikh peralihan Perdana Menteri pada Mei 2020 bagi menjamin kelangsungan agenda Pakatan Harapan.


*AKMAL NASIR*
*Ketua, Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Malaysia*
*Ahli Parlimen Johor Bahru*

https://www.facebook.com/akmalnasir.keadilan/

No comments: