SAYA HANYA JADI PM DUA TAHUN SAJA, SAYA AKAN PATUH PADA PERJANJIAN - TUN M



Ini di antara beberapa petikan dari kenyataan yang keluar dari mulut Tun M sendiri.  Bercakap di dalam media resmi kerajaan iaitu RTM, secara jelas dan tepat, Tun M menyatakan bahawa beliau hanya menjadi PM untuk dua tahun dan beliau berikan sebab-sebabnya.  

Selepas itu, mungkin kerana merasakan seronok atau merasakan terlalu diberi kebebasan dan kuasa oleh Majlis Presiden PH, maka sedikit demi sedikit Tun M mula cuba untuk menjadi watak Tun M yang ke 4 dulu.  Beliau lebih berani kerana melihat semua yang berada di dalam kepimpinan Majlis Presiden PH yang dulunya sewaktu menjadi Pembangkang ibarat harimau malaya yang mengaum hebat sehingga tersungkur rejim zalim Umno/Bn di Putrajaya, tetapi kini dilihat seperti kucing parsi yang dibelai dan dimanja serta dijamu dengan makanan mahal.

Oleh itu, jangan marah kepada Tun M kalau dia lupa diri.  Dulu, kita yang peringatkan dia tentang reformasi dan agenda perjuangan kita selama ini.  Sekarang, siapa lagi mahu peringatkan Tun M?  Kamu yang berada di dalam Majlis Presiden itu pun dilihat semakin lupa agenda reformasi, bagaimana mahu peringatkan Tun M?  Kamu lihat dan dengar sendiri bagaimana ligatnya lidah Tun M, berbelit-belit bila berbicara tentang peralihan kuasa dan kamu biarkan dia bebas berbicara, tetapi kamu cegah kami di bawah ini untuk berbicara hal yang sama kononnya itu di bawah kuasa Majlis Presiden.  

Kami mahu kamu yang dulu memimpin kami di dalam Pembangkang, yang hebat berpidato sehingga membaling microphone,  hebat berjuang merempuh segala ujian, keluar masuk lokap, semuanya kamu lakukan untuk.rakyat dan reformasi, kini telah menuju dua tahun kamu berada di kerusi empuk Putrajaya.  Di Putrajaya, kami yakin kamu mesti mempunyai cermin yang besar di setiap pejabat mewah kamu. Luangkan sedikit masa, berdiri di hadapan cermin seketika, pejamkan mata dan jujurlah bertanyakan diri sendiri, " Adakah aku telah menunaikan amanah rakyat?". 

Kami mengkritik Tun M dan kerajaan adalah kerana kami mahu kerajaan PH terus berkuasa selepas PRU15 nanti.  Rakyat akan ditimpa musibah lebih besar jika kuasa yang kita rampas dari penyamun dulu kita serahkan semula kepada mereka.  Bayangkan, penyamun yang telah berlapar selama 5 tahun kemudian diberikan kuasa, apa akan jadi kepada negara ini?  Justeru itu, kita tiada pilihan lain selain dari balik ke landasan asal perjuangan.  Jelas, Tun M tidak mampu memikul hasrat kita untuk melakukan reform kepada negara.  Percaturan politiknya semakin cerca merba.  Musuh semakin mudah mencari modal untuk menyerang kita.  

Sudah tiba masanya Majlis Presiden bangun dari lena.  Apabila musuh semakin kuat mempertahankan PM tetapi tidak PH, ertinya apa?  Mei 2020, adalah penentu keberanian Majlis Presiden PH untuk membuktikan bahawa mereka bukan 'kucing parsi" tetapi tetap seekor harimau gagah dan garang meskipun dikalungkan dengan rantai berlian.  Itu harapan kita.

WFAUZDIN NS