Petisyen sokong Maszlee melebihi 200,000 tandatangan
Petisyen mendesak agar Ahli Parlimen Simpang Renggam, Dr Maszlee Malik dikekalkan sebagai Menteri Pendidikan mendapat sokongan kuat dari rakyat.
Petisyen itu yang dilancarkan individu menamakan dirinya Tuah Kencana dilancarkan petang Khamis dengan sasaran awal 50,000 tandatangan.
“Maszlee Malik sebagai Menteri Pendidikan Malaysia telah berusaha untuk meningkatkan kualiti pendidikan negara dengan memperkenalkan pelbagai inisiatif yang telah terbukti memberi manfaat kepada pelajar, guru guru dan masyarakat.
“KPM dibawah kemudian YB telah bersikap telus dengan segala inisiatif dan progres usaha-usaha reformasi pendidikan.
“Malangnya, segala inisiatif beliau telah dibayangi dengan laporan laporan negatif yang telah disensasikan oleh pihak yang berkepentingan. Keputusan meletakkan jawatan adalah satu kehilangan besar buat negara,” kata petisyen di laman change.org itu.
Bagaimanapun selepas tiga jam dilancarkan, petisyen yang ditujukan kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohammad itu telah mendapat lebih 70,000 tandatangan dari rakyat pelbagai kaum di negara ini.
Ia kemudiannya dipinda kepada 200,000 tandatangan dan sekali lagi melebihi jumlah itu kurang 8 jam dilancarkan. Petisyen itu kini mensasarkan jumlah baharu 300,000 tandatangan.
“Beliau adalah yang terbaik. jadi tolong jangan politikkan pendidikan anak2 kami!,” kata Khairana Rahman yang menandatangani petisyen berkenaan.
Sementara itu, Siew Chen Lee pula berkata ‘Saya menandatangani petisyen ini kerana saya seorang guru yang akan mengajar generasi akan datang.
“Pendidikan kita benar-benar memerlukan seorang yang tulen, berani dan bercita-cita tinggi seperti Dr Maszlee yang akan membimbing sistem pendidikan kita untuk masa depan yang lebih baik,”
Pada Khamis, Maszlee dalam satu sidang media khas di Kementerian Pendidikan Malaysia mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Menteri Pendidikan berkuat kuasa pada hari ini.
Maszlee berkata, keputusan itu dibuat selepas mengadakan pertemuan dengan Dr Mahathir Mohamad.
“Atas nasihat perdana menteri, dan di atas dasar ketaatan dan disiplin kepada kepimpinan parti dan kerajaan, maka saya dengan hati yang reda walaupun berat, dengan nasihat perdana menteri saya ini Maszlee Malik memulangkan semula jawatan menteri pendidikan kepada perdana menteri,” katanya pada sidang media mengejutkan itu.
Dr Mahathir dalam kenyataan lain memaklumkan akan mengumumkan pengganti Maszlee dalam sedikit masa lagi.