Kalah PRK Kimanis ‘wake up call’ buat PH – Ronnie Liu
Pemimpin kontroversi Pakatan Harapan (HARAPAN) Ronnie Liu menggesa gabungan itu tidak mengambil ringan dengan apa yang diterjemah pengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kimanis minggu lalu.
Beliau yang juga adalah Ahli Jawatankuasa Kerja Pusat (CEC) DAP, memberi peringatan kepada pemimpin HARAPAN supaya berfikir kembali tentang kesuntukan masa yang ada untuk memenangi hati semula pengundi.
Menurut beliau, kekalahan Parti Warisan Sabah (Warisan) yang merupakan sekutu HARAPAN di Sabah dalam PRK itu seolah-olah memberi isyarat kepada HARAPAN terutama di peringkat persekutuan.
“Kekalahan di Kimanis, seandainya ada yang fikir HARAPAN masih mempunyai masa yang begitu panjang untuk kembalikan momentum serta keyakinan rakyat, tolonglah fikir kembali.
“Kalah dengan majoriti 2,029 undi pada awal ‘pertarungan’ tahun 2020 bukan perkara yang baik. Ini satu ‘wake up call’,” katanya seperti disiar di laman Facebooknya.
Terdahulu, seorang penganalisis politik dari Universiti Malaya, Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi menggesa pemimpin HARAPAN lebih bersikap bersungguh-sungguh dalam meenunaikan janji manifestonya.
Tegas Dr Awang Azman, ia penting terutama ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak semakin hampir.
BACA: Perlu cepat tukar PM lepas kalah di Kimanis – Penganalisis
Pada Sabtu, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berpendapat kekalahan Warisan pada PRK Parlimen Kimanis disebabkan pengundi di kawasan itu belum merasai kebaikan pemerintahan kerajaan PH.
Bagaimanapun, beliau yakin lambat laun rakyat di negeri itu umumnya akan memahami dan merasai bahawa pemerintahan kerajaan hari ini adalah lebih baik berbanding kerajaan terdahulu.
Kenyataan itu berbeza dengan apa yang disampaikan bakal penggantinya, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang berpandangan pemimpin HARAPAN perlu belajar dari kegagalan itu dan menawan semula hati rakyat yang menurutnya terluka.