BEGINI CARANYA JIKA AZMIN BERCITA CITA NAK JADI PM



Benarkah Azmin Ali ada cita-cita mahu jadi Perdana Menteri dan memintas konsensus PH yang telah menamakan Anwar Ibrahim sebagai calon Perdana Menteri ke-8?
Jika benar, ini cara dan kaedahnya.
Parti Keadilan Rakyat (PKR) sedia ‘memberi laluan’ kepada mana-mana pemimpin dalam parti itu termasuk Azmin kiranya benar beliau mempunyai cita-cita untuk menjadi Perdana Menteri ke-8 menggantikan Anwar.
Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail berkata, tidak salah bagi mana-mana ahli politik untuk mempunyai keinginan sedemikian tetapi ia perlu dilakukan secara tertib.
Menurutnya, langkah pertama ialah Azmin yang juga Timbalan Presiden PKR perlu membawa nama beliau ke mesyuarat parti supaya dapat mengubah keputusan sebelum ini yang telah menamakan Presiden PKR, Anwar sebagai calon Perdana Menteri Ke-8 menggantikan Tun Mahathir Mohamad.
“Jika Azmin ada cita-cita hendak jadi Perdana Menteri, beliau mesti berterus-terang.
“Pertama, dia kena zahirkan keinginannya itu.
“Kedua, dia kena bawa perkara itu ke dalam PKR untuk ubah keputusan parti yang sebelum ini menamakan calon Perdana Menteri ke-8 ialah Anwar.
“Jadi, untuk Azmin ada keinginan hendak jadi Perdana Menteri, itu tidak salah.
“Hendak ada cita-cita boleh. Orang politik boleh ada cita-cita itu, tidak salah,” katanya dalam wawancara bersama sebuah akhbar.
Seterusnya, tambah Saifuddin, selepas keputusan parti itu berubah, maka ia boleh dibawa kepada mesyuarat Majlis Presiden PH.
“Majlis Presiden PH akan membincangkan tentang keputusan PKR yang sudah ada calon lain sebagai Perdana Menteri itu,” katanya.
Tegas Saifuddin yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, hanya dengan cara itu sahaja boleh memastikan cita-cita Azmin menjadi Perdana Menteri akan terlaksana.
Macam mana Azmin, sedia melakukannya? (ShahbudinHusin 08/01/2020)

No comments: