PM CAKAP TIDAK SERUPA BIKIN.



1. Perhimpunan Agung Bangsa Bersatu yang sedang berlangsung di New York sekarang adalah medan pemimpin2 negara di dunia beraksi di pentas antarabangsa.

2. Tidak terkecuali PM kita yang diberikan ruang berucap beberapa minit sebagai ketua negara untuk menyatakan sikap terhadap isu negara dan antarabangsa.

3. Saban kali persidangan Tun Mahathir akan mempamerkan diri sebagai jaguh dunia, mengajar dunia erti keadilan khusus dalam soal negara2 besar mesti berlaku adil kepada negara2 kecil. Jangan ada penindasan oleh negara2 besar terhadap negara2 kecil.

4. Namun pada hemat saya PM tidak ada asas moral untuk bercakap soal keadilan di pentas dunia kerana di dalam negaranya sendiri pun beliau gagal mempamerkan prinsip keadilan buat semua.

5. Malaysia hari ini masih sebuah negara dimana orang besar dilindungi manakala orang kecil dihukum. Prinsip keadilan bagi kelompok elit yang dekat dengan kuasa berbeza denga prinsip dan praktis keadilan bagi orang biasa.

6. Buktinya jelas, seorang MB boleh meraih jutaan ringgit dalam tempoh sehari hasil jualan saham yang masih menjadi miliknya walaupun setelah mengangkat sumpah jawatan MB. Mukhriz melalui pegangan dalam syarikat Opcom masih boleh melakukan urusan saham miliknya dalam nilai jutaan ringgit sehari dikala rakyat biasa di negara ini berhempas pulas menyara kehidupan keluarga mereka. Ini rupa sebuah Malaysia Baru? Ini ciri negara pro reformasi dan perubahan?

7. Seorang lagi orang besar, seorang Menteri yang menghadapi dakwaan salahlaku songsang dari seorang individu yang tampil bersama bukti2 jelas juga tidak diambil apa2 tindakan terhadapnya sehingga ke hari ini. Malah Menteri Ekonomi ini diusung ke PBB untuk mewakili negara ini. Mana maruah negara?Kompas moral apa yang kita gunakan bagi membenarkan seorang menteri yang menghadapi dakwaan serius membabit maruah dirinya terus menjadi menteri dan menjadi wakil negara di pentas PBB?

8. Kedua-dua mereka, MB dan Menteri ini tidak sedikitpun tergugat walaupun melakukan perbuatan yang salah kerana mereka orang besar. Orang kecil pasti tidak dilepaskan daripada pertanggungjawaban ini. Inilah hakikatnya Malaysia hari ini. Dan atas hakikat ini kita masih punya muka melalak di pentas dunia bercakap soal negara besar menindas negara kecil? Walhal di negara sendiri kita secara terang membela dan melindungi orang besar yang melakukan kesalahan dan menindas orang kecil.

9. Saya menyeru Tun Mahathir supaya berhenti menjadi seperti ibu ketam yang mengajar anaknya berjalan betul. Jangan cakap tak serupa bikin. Kita mesti dilihat melakukan keadilan sebelum mengajar orang lain berlaku adil. Kalau tidak kita hanya boleh berkokok dipentas PBB tetapi tidak akan memberi apa2 kesan kepada dunia kerana kita tidak ada asas moral menegakkan yang hak dan menghapuskan yang batil kerana didalam negara kita sendiri kita mempertahankan kebatilan secara terang dan tanpa segan silu.

10. Jangan gadai maruah negara di mata dunia hanya kerana mahu mempertahankan kepentingan beberapa kerat kelompok elit dan pembesar negara.

Mohamad Ezam Mohd Nor
27 Sept 2019 / 27 Muharam 1441H.