7SALAH TADBIR LTAT DIBAWAH UMNO BN





Selepas kerajaan Pakatan Harapan (PH) mengambil alih pentadbiran di Putrajaya, pengurusan baharu telah dilantik untuk menerajui Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT).

Pengurusan baharu LTAT melantik firma audit Ernst & Young (EY) untuk melakukan audit untuk tahun kewangan (TK) berakhir 31 Disember 2017 dan 31 Disember 2018.

Laporan audit yang dibentangkan EY semalam mendapati wujud tujuh aspek ketidakpatuhan dan kelemahan tadbir urus kewangan yang ketara.
Berikut adalah tujuh aspek berkenaan:

1) Pendapatan tertangguh (retained earnings) telah terjejas akibat terlebih bayar dividen.

– Pulangan aset lima tahun LTAT dari Tahun Kewangan (TK) 2014 hingga TK2018 adalah lebih rendah daripada kadar dividen yang diisytiharkan.
– Ini telah menyebabkan dividen LTAT membayar pada kadar yang lebih tinggi daripada apa yang mampu.
– Untuk menguruskan keadaan ini, LTAT akan membangunkan dasar dividen yang munasabah, yang termasuk menentukan kadar pulangan minimum pelaburannya.
– LTAT kemudiannya akan mewujudkan rangka kerja peruntukan aset strategik untuk memenuhi kadar dividen yang dijangka minimum.

2) Pengisytiharan aset LTAT yang berlebihan antara 2015 dan 2017

– Penjejasan nilai (impairment) yang tidak diambil kira bagi salah satu pelaburan besar LTAT yang mana kemungkinan untuk LTAT mendapatkan balik wang pelaburan adalah mustahil.
– Ini kerana penjual yang memberi jaminan untuk membeli balik sahamnya telah diisytiharkan muflis di Malaysia pada tahun 2015.
– Kegagalan untuk mengambilkira penjejasan nilai bagi pelaburan terbabit telah menyebabkan pengisytiharan aset LTAT yang berlebihan antara 2015 dan 2017.
– Kesannya, jumlah pelaburan sebanyak RM55 juta kini perlu diisytiharkan sebagai penjejasan nilai bagi laporan TK2018 LTAT dan seterusnya mengurangkan nilai aset LTAT.

3) Usaha wajar (due diligence) tidak dilaksanakan dengan betul.

– Latihan usaha wajar kewangan dan teknikal tidak dilakukan oleh LTAT sebelum melabur dalam syarikat di atas.
– Ia bukan berdasarkan dasar dan prosedur pelaburan yang baik.

4) Aset harta tidak terjual.

– Penilaian ini juga menemui beberapa masalah dengan aset hartanah tidak terjual bernilai RM45 juta.
– Ia berkaitan dengan 88 unit kondominium yang tidak terjual sehingga Disember 2018, walaupun transaksi disiapkan dalam TK2015.
– LTAT sedang berusaha untuk mempercepat penjualan unit-unit yang belum dijual.
– Melangkah ke hadapan, LTAT dengan berhati-hati mempertimbangkan potensi pulangan dan kepakarannya sendiri dalam pembangunan hartanah.

5) Risiko kebergantungan berlebihan dan kesukaran menjual balik saham sejak 2014.

– Terdapat penjualan ketara ke atas saham-saham berpotensi dan peningkatan pegangan oleh LTAT dalam Kumpulan Boustead (BHB) dan syarikat-syarikat di bawah naungannya.
– Ini telah mengakibatkan penumpuan pelaburan yang amat berlebihan oleh LTAT. Pelaburan di dalam Kumpulan BHB telah meningkat sebanyak hampir 50% daripada RM2.1 bilion ke RM3.1 bilion manakala bilangan saham berkaitan meningkat sebanyak lebih 83% daripada 833 juta saham bagi tahun TK2014 ke 1.525 bilion saham bagi TK2018.
– Bagi penemuan ini, LTAT akan melaksanakan Kerangka Perumpukan Aset Strategik (Strategic Asset Allocation) seperti yang dinyatakan di atas.

6) Dividen tertunggak daripada anak-anak syarikat yang tidak diterima.

– Dividen yang tinggi yang diisytiharkan untuk TK2017 oleh beberapa syarikat subsidiari tidak dibayar sepenuhnya dan masih tertunggak sehingga tarikh ini.
– Dalam menangani ini, LTAT menilai semula keupayaan anak-anak syarikatnya untuk membayar dividen, dengan mengambil kira prestasi dan kedudukan tunai masing-masing.

7) Tiada kawalan dalam unit amanah saham.

– Amalan membeli unit amanah agar ahli menerima bonus istimewa didapati merugikan kemampuan LTAT untuk mengawal dan menguruskan Dana secara aktif.
– LTAT mahupun ahli-ahli tidak dapat menguruskan pegangan unit amanah sehingga titik persaraan.
– Melangkah ke hadapan, LTAT mungkin mempertimbangkan jalan pelaburan lain yang akan membolehkan Lembaga LTAT lebih baik memenuhi objektif utamanya. 


No comments: