JANGAN TERLALU RISAU KALAU PM KATA KHIDMAT LEBIH LAMA.



Semalam di New York, Tun Mahathir Mohamad memberitahu, beliau kini mempunyai banyak perkara untuk diselesaikan dan memerlukan paling lama tiga tahun lagi untuk terus memegang jawatan Perdana Menteri.
Ini, katanya, termasuk beliau terpaksa bekerja selama 18 jam sehari.
“Saya bekerja 18 jam sehari kerana saya tidak mempunyai banyak masa.
“Saya berjanji akan berundur sebelum PRU akan datang dan memberi laluan kepada calon lain. Jadi, saya mungkin ada lagi tiga tahun paling lama.
“Dalam tempoh tiga tahun itu, saya perlu menyelesaikan banyak perkara,” katanya lagi.
Ramai yang terkejut dengan kenyataan Tun Mahathir ini kerana beliau seolah-olah sudah lupa kepada janjinya sendiri sebelum ini untuk menjadi Perdana Menteri selama hanya dua tahun saja.
Beliau kini secara terbuka menyebut memerlukan paling lama tiga tahun tahun lagi untuk duduk di kerusi Perdana Menteri bagi menyelesaikan banyak kerja-kerjanya.
Apakah banyak kerja yang mahu diselesaikan oleh Tun Mahathir sehingga beliau memerlukan paling lama tiga tahun lagi sebelum pengundurannya itu?
Apakah ia untuk memastikan Najib Razak dan Zahid Hamidi ke penjara terlebih dahulu?
Apakah ia untuk memastikan Azmin Ali benar-benar dibersihkan oleh siasatan polis berkaitan hubungan sejenisnya?
Apakah ia untuk memastikan Mukhriz benar-benar stabil dan terjamin kedudukannya setelah ketiadaannya nanti?
Apakah ia untuk memastikan kawan dan kroninya memperolehi apa yang patut terlebih dahulu?
Apa? Apa? Apa sebenarnya?
Paling lama tiga tahun lagi, jika termasuk setahun empat bulan yang sudah dilaluinya, dengan sendirinya bererti Tun Mahathir akan kekal sebagai Perdana sehingga hampir-hampir PRU15 akan datang.
Bagaimanapun, Tun Mahathir tetap mengulangi janjinya akan berundur atau meletakkan jawatan sebelum PRU15 akan datang.
Jika diperhalusi, kenyataan Tun Mahathir yang menyebut “tiga tahun paling lama” itu masih lagi dikira subjektif sebenarnya.
Tiga tahun lagi paling lama bermaksud beliau tidak akan melebihi tempoh tiga tahun lagi memegang jawatan Perdana Menteri, tetapi tak mustahil tidak sampai tiga tahun.
Dua tahun sebagaimana janji asalnya masih lagi dalam lingkungan tiga tahun paling lama, begitu juga dua tahun sebulan, dua tahun enam bulan dan seumpamanya juga tidak lari daripada tempoh tersebut.
Jadi, tiada apa yang perlu dirisaukan dengan kenyataan Tun Mahathir itu jika dikaitkan dengan janji penyerahan jawatan kepada Anwar Ibrahim sebagaimana yang sudah dijanjikan.
Ia juga hanyalah rancangan dan hasrat Tun Mahathir yang mungkin berbeza dengan apa yang dirancang Tuhan, tambahan lagi usia 94 tahun beliau ketika ini adalah bonus semata-mata.
Lagi pula, selain Anwar, tiada pemimpin lain yang lebih layak dan sesuai untuk menggantikan Tun Mahathir.
Cuma, ada baiknya dalam hal ini Majlis Presiden PH tidak sekadar melopong saja mendengar kata-kata Tun Mahathir itu tanpa sebarang reaksi atau tindak balas.
Walaupun sudah berjawatan menteri, ada gaji dan elaun puluhan ribu setiap bulan dan duduk di kerusi empuk setiap hari, sikap cakna dan peka di kalangan pemimpin PH seharusnya terus kekal sepertimana sebelum ada kuasa dahulu.
Janganlah setelah ada kuasa dan kemewahan, lalu lupa kepada intipati perjuangan sebenar.
Majlis Presiden perlu duduk berbincang memperhalusi maksud sebenar kenyataan Tun Mahathir itu agar PH tidak bergolak atau berpecah dalam menghadapi PRU15 akan datang.
Jika perlu, harus ditanya dan dimuktamadkad dengan Tun Mahathir sendiri berapa lama sebenarnya beliau mahu menjadi Perdana Menteri?
Adakah dua tahun, dua tahun enam bulan, tiga tahun, tiga tahun setengah, empat tahun, empat tahun setengah atau tempoh-tempoh yang lain?
Kemudian, tempoh yang menjadi keinginan Tun Mahathir itu tentulah perlu pula dirundingkan dengan Anwar yang telah dipersetujui oleh PH sebagai bakal penggantinya.
Kalau Anwar bersetuju dengan salah satu tempoh yang diingini oleh Tun Mahathir menjadi Perdana Menteri itu, maka hendaklah pula ditetapkan tarikh pengunduran dan penyerahan jawatan agar segala kekaburan serta ketidaktentuan tidak berbangkit lagi.
Itu pun – pokok pangkalnya – kalau Tun Mahathir masih benar-benar ikhlas terhadap PH, Anwar dan penyerahan kuasa yang telah dipersetujuinya 
sebelum ini. (Shahbudindotcom 28/09/2019)


No comments: