KENYATAAN MEDIA PIMPINAN UTAMA PAKATAN HARAPAN




15 Ogos 2019

Lipatganda Usaha Untuk Pastikan Negara Kekal Makmur, Bersatu Padu, Dihormati Semua

Mutakhir ini pelbagai isu menjadi perbualan rakyat Malaysia. Dari cabaran ekonomi, kepada persoalan persepsi kaum atau agama, kepada pendidikan khat, kepada isu pembangunan amnya - rakyat Malaysia kini jelas lebih mudah menyuarakan pandangan melalui media sosial mahupun media arus perdana.

Tatkala kita bakal menyambut Hari Merdeka ke-62 dan Hari Malaysia ke-56 tahun ini, seharusnya kita mengambil kesempatan yang ada untuk bermuhasabah akan kejayaan yang telah kita capai bersama serta cabaran-cabaran yang masih perlu ditempuhi demi membina sebuah negara yang bersih, adil dan berjaya.

Apa yang rakyat Malaysia nikmati pada hari ini sudah pasti akan dapat terus dinikmati bilamasa rakyat terus bersatu padu, mengukuh muafakat, serta menjunjung Perlembagaan Persekutuan dan menegak negara hukum.

Semua rakyat Malaysia, tidak kira pangkat mahupun latarbelakang, perlu sentiasa memupuk perpaduan dan meningkat persefahaman sesama kita.

Kita perlu ketepikan retorik yang merosakkan perpaduan. Kita perlu sanggah polemik yang berniat membinasakan negara. Kita perlu menolak politik yang hanya mementingkan kelompok kecil dan bukannya kemaslahatan umum.

Kita perlu terus yakin bahawa membina negara adalah usaha yang memerlukan iltizam yang kukuh, niat yang ikhlas, kepercayaan yang tinggi terhadap masyarakat itu sendiri, dan wawasan yang jelas untuk mengangkat darjat dan martabat rakyat ke tahap yang lebih tinggi.
  
Malaysia, sebuah negara yang majmuk amat memerlukan keharmonian dan kerukunan hidup antara satu sama lain.

Rakyat Malaysia yang terdiri dari pelbagai kaum, agama dan budaya, maka kepelbagaian ini semestinya dipertahan dan dihormati oleh semua lapisan masyarakat.

Kami percaya rakyat Malaysia kesemuanya cintakan keamanan dan keharmonian untuk terus bersama menikmati hidup dalam suasana aman.

Oleh itu, marilah kita bersama-sama menyahut seruan YAB Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad untuk melipatgandakan usaha untuk memastikan negara kita yang tercinta ini akan terus kekal sebagai sebuah negara yang makmur, dihormati dan disegani oleh semua.

Datuk Seri Anwar Ibrahim
Presiden KEADILAN

Tan Sri Muhyiddin Yassin
Presiden PPBM

Sdr Lim Guan Eng
Setiausaha Agung DAP

Tn Hj Mohamad Sabu
Presiden AMANAH

No comments: