UNTUK APA TUN MAHATHIR AJAK SEMUA PARTI MELAYU SERTAI BERSATU?


Secara tiba-tiba Tun Mahathir Mohamad hari ini mengajak semua parti Melayu, termasuk UMNO, agar menyertai Bersatu bagi memperkasa kuasa politik orang-orang Melayu.
Menurut beliau, kewujudan semakin banyak parti Melayu hanya akan menyebabkan potensi mereka untuk menang pilihanraya semakin tipis.
“Kalau dahulu, cuma ada satu sahaja parti yang mewakili orang Melayu iaitu UMNO, tetapi kerana tamak untuk mendapatkan tempat, maka hari ini orang Melayu berpecah kepada enam (parti).
“Enam, bukan lagi majoriti 60 peratus tetapi setiap parti 10 peratus sahaja,” katanya ketika berucap pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Bersatu Johor di Dewan Serbaguna Johor Jaya, di Johor Bahru petang tadi.
Kenapa tiba-tiba saja Tun Mahathir membuat kenyataan atau pelawaan seperti ini?
Walaupun Tun Mahathir menyebut atau mengajak semua parti Melayu agar menyertai Bersatu, tetapi sudah tentu sasaran sebenarnya ialah UMNO saja.
Untuk Pas misalnya, Tun Mahathir tentu sedar tidak mungkin mereka itu sedia untuk menyertai Bersatu.
Begitu juga dengan parti-parti Melayu kecil yang lain seperti Berjasa, Putra atau Ikatan misalnya, mereka juga bukanlah sasaran yang diidamkan Tun Mahathir.
Hanya UMNOlah sasaran Tun Mahathir dalam soal penggabungan ini, tambahan ini UMNO dan Bersatu adalah dua parti yang ditubuhkan oleh Tun Mahathir sendiri.
Maka, sudah tentu beliau hanya mahu satu parti saja daripada kedua-duanya itu yang terus hidup dan bernyawa.
Apakah kenyataan ini bermakna penggabungan UMNO dan Bersatu semakin hampir menjadi kenyataan?
Bagaimana jika pelawaan ini ditolak oleh UMNO?
Apakah kemudian akan membawa UMNO bakal diharam atau dibubarkan dan dengan yang demikian bekas ahli-ahli UMNO akan dilorongkan untuk menyertai Bersatu?
Lebih pelik, bersama kenyataannya mengajak semua parti Melayu menyertai Bersatu itu, Tun Mahathir juga ternampak bersikap tidak peduli terhadap perasaan parti-parti komponen dalam PH.
Ketika ditanya jika pelawaannya itu mungkin mendapat tentangan daripada parti-parti komponen PH, beliau berkata, “itu masalah mereka, kita tiada kaitan dengan parti-parti lain”.
Amboi…lain macam bunyi nada kali ini?
Adakah jika penyatuan dengan UMNO itu menjadi kenyataan, Tun Mahathir akhirnya akan membawa Bersatu meninggalkan PH?
Kenapa?
Adakah Tun Mahathir tidak mahu lagi bersama dengan PKR dan DAP yang dalam PRU14 lalu sudah berjasa membantunya menjadi Perdana Menteri buat kali kedua?
Ataukah hanya dengan cara menggabungkan semua parti Melayu ini saja akan membolehkan Tun Mahathir kekal sebagai Perdana Menteri dengan lebih lama dan tidak perlu lagi memenuhi janji peralihan kuasa kepada Anwar Ibrahim? (Shahbudindotcom 05/07/2019)

No comments: