Semakin banyak didakwa, kempen perangai rasuah berjaya
Penangkapan seorang hakim mahkamah baru-baru ini atas jenayah rasuah melepaskan pendatang tanpa izin dan semakin banyak tokoh politik ‘jerung besar’ yang didakwa di mahkamah membuktikan kejayaan kempen memerangi rasuah kerajaan Pakatan Harapan (PH)
Menurut Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye, rakyat yang mempersoalkan prestasi PH sewajarnya melihat kejayaan tersebut sebagai permulaan kepada kemakmuran negara masa hadapan.
Katanya, tanpa rasuah yang menelan berbilion ringgit wang rakyat maka peruntukan lebih banyak boleh diberikan untuk menaiktaraf kemudahan awam dan menambah skim bantuan kepada golongan memerlukan.
“Saya harap rakyat akan yakin dengan pentadbiran PH sebab kita sedang berusaha sedaya-upaya untuk menghapuskan amalan rasuah di semua peringkat.
“Usaha menghapuskan rasuah memang akan memakan masa dan sumber, tetapi jelas kami sedang melakukan dengan sebaik-baiknya. Kita hendak membuktikan kepada masyarakat dunia bahawa kita serius dalam projek menghapuskan rasuah dan sejurus itu sesiapa yang terbukti menerima atau memberi rasuah tidak akan dilindungi tidak kira status atau jawatan orang yang melakukannya,” katanya kepada Suara Pakatan Daily.
Dr Lee menegaskan, semakin banyak pelabur telah menanam modal di Malaysia sejak 9 Mei 2018 dan kesannya pertumbuhan ekonomi akan lebih baik serta peluang pekerjaan akan meningkat untuk rakyat.
“Banyak negara yakin dengan Kerajaan PH dan ada negara-negara di mana skandal 1MDB berlaku di sana sudah pun memulangkan wang yang diselewengkan itu kepada Malaysia. Dengan ini dan dengan pengurangan hutang negara, saya yakin dalam setahun dua nanti, keadaan kewangan dan ekonomi negara pulih seperti sedekad lalu.
“Selain dari itu, Malaysia juga perlu bergerak ke depan dalam era inovasi dan Revolusi Industri 4.0. Lebih banyak lagi firma perlu mengambil langkah untuk melaksanakan amalan teknologi baru dalam organisasi mereka.
“Dengan pelancaran Tahun Melawat Malaysia 2020 pula kita berharap lebih banyak wang dari pelancong asing masuk ke kantung negara. Masa depan adalah cerah jika semua rakyat bersatu dan berganding bahu bekerjasama dengan Kerajaan PH,” tambah Dr. Lee yang juga ahli parlimen Gopeng.