GESAAN HADI INI HANYA ADA NILAI JIKA BELIAU BOLEH BAWA PAS MASUK PH


Presiden Pas, Hadi Awang sekali lagi mengulangi gesaannya agar Tun Mahathir Mohamad terus berkhidmat sebagai Perdana Menteri sehingga habis penggal.
Kata beliau, kepimpinan Tun Mahathir yang mewakili Bersatu perlu dipertahankan kerana parti lain yang majmuk kaum dalam PH tidak mewakili wajah kepimpinan Islam.
“Itu pendirian kita (PAS). Tun Mahathir perlu jadi PM (Perdana Menteri) sehingga habis penggal.
“Bila nak buat pilihan raya? Itu terpulang kepada dialah, tapi biar dia habis penggal ini,” katanya.
Jika tidak silap, ini adalah kali kedua Hadi menyuarakan gesaan agar Tun Mahathir terus berkhidmat sampai habis penggal iaitu sehingga tahun 2023.
Walaupun dulunya Hadi pernah mengutuk Tun Mahathir sebagai tidak layak menjadi Perdana Menteri, sebaliknya lebih sesuai menjadi doktor di klinik 1Malaysia saja lantaran terpana dengan layanan Najib Razak terhadapnya, beliau kini nampaknya begitu bersungguh-sungguh membodek Perdana Menteri.
Tujuannya barangkali tidaklah sukar difahami iaitu kerana mengharapkan Tun Mahathir terus menunaikan janji memberi royalti minyak kepada kerajaan Terengganu yang sekarang dipimpin oleh bekas Setiausaha Politiknya, Ahmad Shamsuri Mokhtar selaku Menteri Besar.
Bagi Hadi, selain Kelantan, Terengganu adalah tapak penting bagi politik Pas dan jika tanpa bantuan Pusat, tiada apa yang mampu dilakukan oleh kerajaan negeri itu.
Memang Tun Mahathir sudah banyak memberi wang royalti kepada Terengganu, tetapi demi kepentingan politik Pas, beliau tentulah berharap wang royalti itu terus diberi serta tidak disekat-sekat oleh Pusat sebagaimana dahulu.
Kerana itulah beliau perlu terus membodek Tun Mahathir, meskipun PH sudah ada perjanjian untuk menyerahkan jawatan Perdana Menteri kepada Anwar sebelum berakhir penggal PRU14 ini.
Dalam usia 94 tahun, Tun Mahathir acapkali mengulangi janji penyerahan kuasa kepada Anwar pada pertengahan penggal akan tetap ditunaikannya kerana beliau juga turut memikirkan tentang kesihatan dirinya.
Jadi sebab yang pertama Hadi mahu Tun Mahathir lebih lama menjadi Perdana Menteri sebenarnya hanyalah kerana nafsu dan kepentingan politiknya semata-mata.
Tapi sebab terbesar mengapa Hadi mahu Tun Mahathir berkhidmat sehingga habis penggal tidak lain ialah kerana mahu melihat Perdana Menteri dan Anwar sekali lagi berbalah serta akhirnya menjadikan PH berpecah.
Semua kita tahu Pas sudah ada kerjasama dengan UMNO dan BN yang turut disertai oleh MCA dan juga MIC untuk menghadapi PRU15 akan datang.
Piagam kerjasama dan formula pembahagian kerusi untuk kerjasama itu sedang dirangka dan dijangka akan diumumkan tidak lama lagi.
Melihat para pemimpin Amanah sudah ramai menjadi menteri, Hadi juga sebenarnya ada perasaan iri hati terhadap mereka itu.
Sebab itu Pas ingin sangat menang PRU akan datang melalui kerjasama yang dimetrainya bersama UMNO dan dengan itu bolehlah mereka pula menjadi menteri, walaupun UMNO pernah dikafirkannya sebelum ini.
Namun, tentulah sukar untuk Pas dan UMNO untuk menang jika PH tidak berpecah dan Tun Mahathir dengan Anwar tidak berbalah.
Maka, bolehlah difahami bahawa pendirian dan gesaan Hadi agar Tun Mahathir terus berkhidmat sehingga habis penggal itu bukan sesuatu yang jujur dan ikhlas, bahkan terselit sebesar-besar kemunafikan sebagai sebuah parti yang memperjuangkan Islam.
Bagaimanapun, gesaan Hadi itu barangkali boleh diterima pakai jika beliau segera memutuskan hubungannya dengan UMNO dan segera membawa Pas menyertai PH.
Jika sudah menyertai PH dan bersuara sebagai salah satu komponen PH, barulah gesaan tersebut ada nilai dan boleh diperbincangkan.
Jika tidak, lebih baik Hadi jangan masuk campur urusan PH kerana Majlis Presiden PH telah sedia ada untuk menyelesaikan soal penyerahan jawatan Perdana Menteri daripada Tun Mahathir kepada Anwar sebagaimana yang sudah lama dipersetujui ketika Presiden Pas itu masih asyik mahsyuk berpeluk dengan Najib lagi. (Shahbudindotcom 27/07/2019)

No comments: