MB TIDAK DILANTIK PENGERUSI BERSATU JOHOR, MASIHKAH TUN MAHATHIR BERDENDAM DENGAN MUHYIDDIN?


Ternampak ada sesuatu yang pelik dan ganjil dalam perlantikan Pengerusi Bersatu Negeri Johor sebagaimana yang disahkan oleh Tun Mahathir Mohamad, hari ini.
Diminta mengesahkan perlantikan Mazlan Bujang sebagai Pengerusi Bersatu Johor, Tun Mahathir berkata, “saya fikir dia sudah pun diberikan surat perlantikan itu”.
Mazlan baru-baru ini digugurkan sebagai Exco Negeri Johor berikutan perlantikan Dr. Shahruddin Jamal sebagai Menteri Besar yang baru menggantikan Osman Sapian.
Pengguguran Mazlan bersama seorang lagi wakil daripada DAP tidak disenangi oleh Tun Mahathir sehingga beliau memanggil mesyuarat khas Bersatu untuk meminta penjelasan daripada Muhyiddin Yassin mengenainya.
Ia berikutan kabinet telah membuat pendirian tidak ada sebarang perubahan perlu dilakukan pada barisan Exco Johor, tetapi ketika Muhyiddin bersama Dr. Shahruddin mengadap Sultan Johor, dua nama Exco baru, Solihan Badri dan Tosrin Jarvanthi telah dipersembahkan kepada baginda.
Perlantikan dua Exco baru itu dilihat telah meretakkan hubungan Tun Mahathir dan Muhyiddin, bukan saja kerana arahan Perdana Menteri dan kabinet tidak dipatuhi, tetapi juga disebabkan kedua-dua Exco baru yang dilantik itu adalah dikenali sebagai penyokong kuat kepada Presiden Bersatu itu.
Dr. Shahruddin yang dilantik sebagai Menteri Besar sebelum itu juga dikatakan sebagai penyokong kuat Muhyiddin dan namanya sendiri dikhabarkab dicadangkan oleh Muhyiddin untuk jawatan tersebut.
Mazlan pula sebaik digugurkan sebagai Exco berkata, penggugurannya adalah kerana beliau bukan daripada team Muhyiddin.
Kini, dengan dilantik sebagai Pengerusi Bersatu Johor yang baru menggantikan Osman Sapian, Mazlan nampaknya telah mendapat pembelaan daripada Tun Mahathir.
Dr. Shahruddin yang merupakan Menteri Besar pula hanya dilantik sebagai Setiausaha Bersatu Negeri Johor.
Bermakna, meskipun Dr. Shahruddin adalah Menteri Besar Johor, tetapi dalam struktur parti di negeri itu, beliau hanya setiausaha atau dalam bahasa pasarnya adalah “budak suruhan” kepada Mazlan.
Bolehkah seorang Menteri Besar hanya menjadi setiausaha kepada Mazlan yang digugurkan olehnya sebagai Exco?
Bolehkah juga Mazlan sebagai Pengerusi Bersatu Johor yang tanpa apa-apa jawatan dalam kerajaan memberi sesuatu arahan kepada Dr. Shahruddin sebagai setiausahanya sedangkan dalam waktu yang sama setiausahanya itu adalah ketua kerajaan negeri?
Tidakkah ini sesuatu yang pelik?
Tidakkah perlantikan ini akan menyebabkan ada dua kepala dalam Bersatu Johor – seorang mengetuai parti dan seorang lagi mengetuai kerajaan negeri?
Dalam hal ini mengapa Tun Mahathir tidak melantik Dr. Shahruddin, sesuai dengan kedudukannya sebagai Menteri Besar Johor sebagai Pengerusi Bersatu negeri itu?
Bukankah lebih baik dan lebih mudah jika ketua kerajaan negeri turut menjadi ketua parti di peringkat negeri?
Apa muslihat Tun Mahathir dalam melantik Mazlan dan bukan Dr. Shahruddin sebagai Pengerusi Bersatu Johor?
Apakah Tun Mahathir masih berdendam dengan Muhyiddin, meskipun Presiden Bersatu itu dikhabarkan sudah meminta maaf kerana mendakwa tidak tahu mengenai adanya arahan kabinet berhubung tiada perubahan dalam kedudukan Exco lantaran tidak menghadiri mesyuarat disebabkan ada tugasan di luar negara ketika itu?
Ke mana sudahnya hubungan Tun Mahathir dan Muhyiddin selepas ini, terutama dalam pemilihan Bersatu nanti? (Shahbudindotcom 30/04/2019)