Reformasi di tangan babi



Image result for pementasan teater
Gambar hiasan

Siapa sangka begitu banyak pengajaran yang boleh dikutip dengan menonton sebuah pementasan teater tentang sekawan babi yang berideologi.

Arakian demikianlah yang berlaku lewat malam Jumaat lalu, usai menonton teater Kandang. Naskhah ini dipentaskan semula pada era Malaysia Baharu, setelah berdepan sedikit kontroversi pada era Malaysia Lama, ketika ia pertama kali muncul.

Diarahkan Omar Ali, anak allahyarham Muhammad Ali Hashim, Kandang adalah adaptasi Bahasa Melayu daripada novel George Orwell, Animal Farm yang terbit pada 1945.

Orwell adalah nama tipu bagi penulis, Eric Arthur Blair yang terkenal melalui novel adikaryanya yang distopia, Nineteen-Eighty-Four (atau lebih biasa dicetak sebagai 1984).

Seperti 1984, Animal Farm yang dicetak lebih awal diterima ramai sebagai amaran Orwell terhadap kedatangan totalitarianisme yang lahir dari rahim ideologi kiri yang mengusung agenda “revolusi”. Terutamanya apabila revolusi itu diwarisi tangan-tangan yang salah.

Dalam kes Kandang, revolusi di Ladang Jones menyaksikan kebangkitan kaum haiwan yang sekian lama membanting tulang untuk Tuan Jones tanpa pulangan setimpal. Revolusi dan kemerdekaan yang dicita-citakan berakhir dengan kekecewaan apabila kaum babi yang memonopoli hal ehwal politik dan kekuasaan akhirnya mengkhianati perjuangan warga kandang seluruhnya.

Dalam satu perenggan, begitulah suratan hikayatnya lebih kurang. Namun apa yang lebih penting ialah perkara-perkara tak nampak yang perlu dicerakin dalam bilangan perenggan yang lebih banyak.

Jangan khianati revolusi

Pementasan Kandang datang tepat pada waktunya di ambang minggu terakhir ulang tahun pertama tumbangnya rejim United Malays National Organisation pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), 9 Mei, 2018.

Akhir minggu lalu ramai yang bernostalgia tentang momen-momen setahun lalu, mengenang kembali hari penamaan calon kepada kempen pilihan raya yang langsung tidak dijangka hasilnya sedemikian dahsyat.

PRU14 adalah pilihan raya yang paling revolusioner, dalam sejarah negara. Tanpa pertumpahan darah, dan tanpa pergelutan fizikal, Barisan Nasional (BN) tersungkur daripada takhta kekuasaan yang dipegangnya selama lebih enam dekad.

Mantan perdana menteri Najib Razak ternyata tidak menyangka nasibnya akan berakhir sedemikian rupa. Harta bendanya disita, beg tangan isterinya diangkut trak polis secara begitu terbuka. Wang berjuta yang tersimpan di rumah kerana terlalu yakin akan kekal berkuasa, habis diangkut juga.

Najib berdepan kekalahan yang begitu memalukan. Kubu BN hancur, dan mengambil masa berbulan-bulan untuk dipulihkan.

Di pihak kerajaan Pakatan Harapan (PH), kuasa yang baru diraih sedikit memeranjatkan. Para menteri yang selama ini hanya memandu kereta Kelisa sudah terpaksa punya escort polis dari rumah ke tempat kerja. Harus naik kereta “roti john” dengan lampu biru bergemerlapan. Tidak sedikit pula yang menanggung sakit kepala setelah dibongkar segala rahsia istana Putrajaya.

Sakit kepala itu juga ada yang melarat sehingga membawa kesan jangka panjang kepada sesetengahnya, sehingga menjadi tidak ketahuan hala dan mengundang kutukan panjang berjela dari rakyat jelata.

Begitulah juga yang diperhatikan dalam pementasan Kandang.

Setelah Tuan Jones dilengser, semua haiwan meraikan kemenangan. Kerbau, lembu, itik, dan angsa, masing-masing memasang angan-angan. Tiadalah mereka tahu bagaimana kemenangan itu nanti akan dibajak oleh beberapa ekor babi dengan aspirasi politik sendiri. Ketuanya diberi nama Tunggal. Seekor babi yang tidak banyak bercakap kononnya, tetapi dalam diam menanam ranjau.

Kandang mengajar kita bahawa faham politik semurni mana pun mampu berakhir celaka di tangan babi yang berlagak nabi. Orwell, si sosial demokrat, memberi amaran ini supaya masyarakat berjaga-jaga, dan supaya ahli politik berhati-hati, agar tidak tergelincir dari jalan perjuangan dan berakhir dengan perangai si babi.

Pun begitu, apa yang lebih penting daripada mesej nyata Orwell ialah hakikat kandang nan satu itu tidak berubah bentuknya, meski berubah penguasa.
Kandang itu tetap kekal menjadi kandang yang mengumpulkan haiwan segala macam, baik yang haram mahupun yang halal. Mereka tetap bekerja, mereka tetap perlu makan, dan mereka tetap hidup bersama.

Sama juga halnya dengan sebuah negara.

Malaysia, setelah melalui perubahan politik, dan dalam rangka melalui perubahan sosial, kekal menjadi tanah tumpah darah segala macam manusia dengan pelbagai latar keturunan, ekonomi, pendidikan dan fahaman. Semuanya kekal hidup bersama dan mendepani hari-hari muka dengan tujuan yang serupa.

Pakat-pakat jagalah, ya. Jangan buat perangai Si Tunggal, babi yang mengkhianati reformasi. – Roketkini.com
*Tulisan ini kali pertama disiarkan di The Malaysian Insight