Meski sukar, Anwar pilih Streram kerana ‘jiwa kemanusiaan’
Dr Streram Sinnasamy dipilih menjadi calon pilihan raya kecil Rantau untuk PKR selepas peluang beliau bertanding pada pilihan raya umum lalu dinafikan secara tidak adil, kata Anwar Ibrahim.
Presiden PKR itu berkata Streram merupakan seorang mangsa dan dihalang untuk menghantar borang pencalonan.
“Haknya dinafikan, beliau dilayan secara tidak adil,” kata Anwar.
Pada Pilihan Raya Umum ke-14, Mohamad Hassan dari Umno diisytiharkan sebagai pemenang kerusi Rantau selepas Dr Streram dihalang dari memasuki pusat penamaan calon untuk menghantar dokumen berkaitankkerana beliau tidak mempunyai pas yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Anwar berkata usaha kemanusiaan Streram sebagai doktor turut meyakinkan untuk memilih beliau sebagai calon.
Anwar berkata sebagai seorang pakar bius, Streram pernah menyertai misi kemanusiaan di Afghanistan dan Sudan.
“Lihat sejarahnya, beliau seorang India dan Hindu, tetapi beliau pergi ke negara-negara Islam untuk membantu orang Muslim ketika perang tanpa rasa ragu,” katanya hari ini pada majlis pengenalan calon Pakatan Harapan PRK Dun Rantau di Mambau, Negeri Sembilan.
Anwar berkata kepada lebih 500 hadirin bahawa Streram sanggup membahayakan nyawanya ke negara tersebut bagi membantu orang Islam di sana.
“Berapa ramai orang sanggup bergadai nyawa pergi ke negara bergolak untuk membantu? Tiada siapa pertikaikan beliau sebagai seorang India yang membantu orang Islam apabila beliau pergi menyelamatkan nyawa Muslim di sana,” katanya.
Anwar berkata kepimpinan PKR mengemukakan senarai calon kepadanya dan beliau tidak tergerak hati untuk memilih orang lain.
“Sukar (untuk pilih Streram) kerana nama lain dalam senarai adalah mereka yang setia dan kawan baik saya. Tetapi saya memilihnya kerana beliau berjiwa kemanusiaan,” katanya