TUN, TANGGUH DULU PROJEK KERETA KETIGA, TUNAI JANJI MANIFESTO LEBIH UTAMA!!



Semua orang tahu keghairahan Tun Mahathir Mohamad terhadap kereta adalah tinggi dan boleh dikata tiada tandingan berbanding pemimpin-pemimpin lain.
Beliau bukan saja meminati kereta dan kejuruteraannya, malah dalam usinya mencecah 94 tahun sekarang pun beliau masih boleh memandu kereta dengan baik dan laju.
Minat itulah yang antara lain mendorong beliau memulakan projek kereta nasional pertama, Proton sebelum ini.
Selepas Proton, negara kemudian memperkenalkan projek kereta kedua iaitu Perodua.
Sebaik menjadi Perdana Menteri buat kali kedua pada tahun lalu, atas minatnya yang tidak pernah luntur terhadap kereta, beliau lantas mengumumkan untuk memperkenalkan projek kereta nasional ketiga pula.
Adalah diumumkan sebelum ini bahawa projek kereta ketiga ini adalah usahasama antara kerajaan dengan swasta di mana sejumlah peruntukan besar yang tidak diumumkan jumlahnya telah pun disediakan untuk penyelidikan dan pembangunannya.
Hari ini, sebagai bayangan bahawa projek ini akan dilaksanakan dalam waktu yang tidak terlalu lama daripada sekarang, Tun Mahathir berkata, Malaysia perlu mencontohi China yang mempunyai banyak syarikat pengeluar kereta.
Kata beliau, China telah berjaya mengorak kemajuan yang besar disebabkan penglibatannya yang aktif dalam industri automotif.
“Kita tidak tahu apa-apa tentang kejuruteraan automotif. Sebab itu kita mahu perkenalkan kereta ketiga – untuk belajar,” jelasnya.
Biar betul Tun?
Sebenarnya bukan tidak boleh mewujudkan projek ketiga ketiga, tetapi haruslah disedari keadaan negara dan kerajaan PH yang ada sekarang ini.
Kita bukan saja berdepan masalah kewangan yang tenat kononnya sehingga janji-janji manifesto pun tidak mampu dilaksanakan, maka di mana logiknya kereta ketiga ini tiba-tiba lebih diutamakan?
Tidak bolehkah kerajaan menunaikan sedaya mungkin janji-janji pilihanraya yang membuatkan rakyat mengundi PH dalam PRU14 lalu sebelum mahu memperkenalkan projek kereta ini yang tujuannya hanya untuk belajar?
Adakah menunaikan janji sudah tidak penting lagi setelah kuasa diperolehi dan berjaya menjadi kerajaan?
Dalam hal ini juga, Tun tidak boleh menjadikan China yang mempunyai banyak syarikat kereta sebagai perbandingan dengan negara kita.
Pasaran kereta di China adalah besar dan oleh kerana keuntungan yang mampu dijana itulah yang menyebabkan banyak syarikat kereta wujud di negara tersebut.
Lagi pun, kerajaan China tidak berhutang dengan rakyatnya dari segi janji-janji pilihanraya sepertimana kerajaan PH sekarang?
Apa guna memperkenalkan kereta ketiga – realitinya Proton dan Perodua pun sebetulnya sudah memadai untuk negara sekecil Malaysia ini – tetapi kehidupan rakyat masih terbelenggu dengan janji yang belum ditunaikan serta kos sara hidup yang semakin meningkat?
Pernahkah Tun meninjau dan meneliti kedudukan harga barang keperluan harian yang sekarang ini banyak yang semakin meningkat berbanding era BN dahulu?
Kenapa tidak digunakan saja dana atau peruntukan kerajaan untuk kereta ketiga itu bagi menstabilkan harga barang dan menjadikan kehidupan rakyat lebih selesa?
Oleh itu, sebaik-baiknya projek kereta ketiga ini ditangguhkan terlebih dahulu dan kerajaan harus mengutamakan bagaimana untuk menunaikan janji-janjinya kepada rakyat terlebih dahulu.
Lagi pula, Tun juga bukan lama sangat lagi menjadi Perdana Menteri dan dibimbangi projek itu nanti hanya akan menyusahkan kepimpinan selepas beliau untuk menguruskannya.
Lebih buruk lagi kiranya projek itu nanti mengalami kegagalan dan kerugian yang berpanjangan yang akhirnya hanya memburukkan nama dan legasi beliau sendiri selepas ketiadaannya.

No comments: