Kerjasama dengan Perkasa, ‘Untung secupak, rugi segantang’
Ahli parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar menolak sebarang kerjasama antara Pas dan Perkasa. Menurut beliau kerjasama seperti itu akan mengundang lebih banyak kekaburan berbanding manfaat politik.
“Saya ucapkan tahniah atas pendirian yang diambil oleh PAS Selangor melalui kenyataan YB Dato’ Iskandar Samad Pesuruhjaya PAS Selangor yang menolak sebarang kerjasama dengan kumpulan Perkasa yang membawa sentimen perkauman.
“Saya percaya penolakan kerjasama dengan Perkasa oleh PAS Selangor setelah mengambil kira sentimen penolakan rakyat Selangor daripada pelbagai kaum terhadap Perkasa yang dilihat terlalu membawa sentimen politik perkauman sempit yang boleh menimbulkan ketidakharmonian masyarakat pelbagai kaum dan agama yang ada dinegeri Selangor.
“Saya percaya PAS Selangor melihat sebarang bentuk kerjasama mahu pun apa apa ketetapan atas apa jua isu bersama Perkasa tidak ubah seperti pepatah Melayu yang menyatakan “Untung secupak rugi segantang”, kata Mahfuz dalam satu kenyataan kepada Suara pakatan daily..
Mahfuz juga menasihatkan parti politik pembangkang agar berhati-hati dengan agenda politik sempit yang cuba dibawa oleh pihak tertentu untuk mewujudkan pemikiran kononnya berlaku pemisahan antara kerajaan pemerintahan Melayu dan Pembangkang Cina di Malaysia.
“Pemikiran ini sangat merbahaya kepada masyarakat Majmuk. Pemikiran ini hanya sekadar untuk menyambung hayat politik Umno yang berada dalam keadaan Nazak. Kepada umat Islam marilah kita pamerkan Islam Rahmat untuk semua.
“Saya menyeru pada semua parti-parti politik khususnya parti pembangkang untuk bersatu dalam satu pasukan untuk melakar landskap politik baru Malaysia tanpa politik perkauman sempit demi masa depan anak cucu dan Malaysia tercinta,” tambahnya lagi.